Isnin, 25 April 2022 | 12:26am
Pemain Negeri Sembilan, Matheus Alves (kiri) mengawal bola daripada pemain KL City FC, Declan Lambert pada perlawanan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi. - Foto BERNAMA
Pemain Negeri Sembilan, Matheus Alves (kiri) mengawal bola daripada pemain KL City FC, Declan Lambert pada perlawanan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi. - Foto BERNAMA

Negeri Sembilan benam KL City FC di Paroi

SEREMBAN: Negeri Sembilan FC (NSFC) mengekalkan rentak kemenangan apabila membenam Kuala Lumpur (KL) City FC, 2-1, dalam aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, sebentar tadi.

Kemenangan itu melonjakkan Negeri Sembilan ke tangga ketiga carta liga dengan mengumpul 11 mata.

Kedua-dua pasukan dilihat mempamerkan aksi agresif sebaik perlawanan dimulakan dengan saling melakukan serangan ke kubu lawan masing-masing.

KL City yang menurunkan gandingan Romel Morales Ramirez, Kevin Xavier Koubemba dan J Partiban di barisan depan dilihat bertindak agresif dengan beberapa percubaan merbahaya ke arah gawang tuan rumah.

Negeri Sembilan akhirnya berjaya memecah kebuntuan jaringan apabila Herold Goulon menjaringkan gol pertama tuan rumah menerusi tandukan hasil sepakan sudut yang diambil Ahmad Khuzaimi Piee, seminit selepas babak kedua bermula.

Pemain Negeri Sembilan, Omid Nazari (dua, kanan) mengawal bola daripada pemain KL City FC, Declan Lambert (kanan) pada perlawanan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi. - Foto BERNAMA
Pemain Negeri Sembilan, Omid Nazari (dua, kanan) mengawal bola daripada pemain KL City FC, Declan Lambert (kanan) pada perlawanan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi. - Foto BERNAMA

Ketinggalan 0-1 membuatkan anak buah Bojan Hodak menggandakan usaha bagi mendapatkan gol penyamaan dan hasilnya mereka berjaya menyamakan kedudukan menerusi tandukan Muhamad Irfan Zakaria pada minit ke-73.

Bagaimanapun kedudukan 1-1 itu tidak bertahan lama apabila Goulon sekali lagi meletakkan Negeri Sembilan di depan menerusi gol keduanya pada minit ke-75.

Usaha KL City untuk merapatkan jurang dan meraih sekurang-kurang satu mata tidak kesampaian apabila kedudukan 2-1 yang menyebelahi Negeri Sembilan kekal sehingga ke wisel penamat.

Berita Harian X