Ahad, 24 April 2022 | 8:06am
Pemain Paris Saint-Germain Lionel Messi (kanan) meraikan jaringannya bersama Marquinhos ketika aksi Ligue 1 menentang Lens di Parc des Princes. - Foto REUTERS
Pemain Paris Saint-Germain Lionel Messi (kanan) meraikan jaringannya bersama Marquinhos ketika aksi Ligue 1 menentang Lens di Parc des Princes. - Foto REUTERS

PSG rai gelaran tanpa penyokong

PARIS: Paris Saint-Germain mengesahkan kejuaraan Ligue 1 ke-10 mereka, menyamai rekod Saint-Etienne, selepas seri 1-1 di laman sendiri menentang Lens.

Lionel Messi memecah kebuntuan menerusi sepakan lencong pada minit ke-68, tetapi Lens menyamakan kedudukan menerusi Corentin Jean ketika aksi di Parc des Princes berbaki dua minit.

PSG memenangi liga dengan kelebihan 16 mata ke atas pesaing terdekat Marseille ketika saingan musim ini masih berbaki empat perlawanan.

"Suasananya memalukan. Bola sepak adalah minat kami, kami bermula dari kecil lagi. Kami cuba untuk menikmatinya sebaik mungkin. Amat memalukan ia tidak begitu pada penyokong tetapi kami terpaksa menerimanya," kata kapten PSG Marquinhos.

Skuad kendalian Mauricio Pochettino merampas kembali kejuaraan daripada Lille, yang membuat kejutan dengan menjuarai liga musim lalu.

Penyerang Paris Saint-Germain, Kylian Mbappe (kanan) menggelicik pemain Lens, Cheick Doucoure. - Foto EPA
Penyerang Paris Saint-Germain, Kylian Mbappe (kanan) menggelicik pemain Lens, Cheick Doucoure. - Foto EPA

Ia adalah gelaran Ligue 1 kelapan PSG dalam tempoh 10 musim terakhir, peningkatan ketara selepas suntikan dana oleh pemilik dari Qatar.

Bagaimanapun musim ini masih dianggap sebagai satu kegagalan untuk PSG selepas tersingkir di peringkat 16 terakhir Liga Juara-Juara Eropah di tangan Real Madrid dan tewas kepada Nice dalam saingan Piala Perancis.

Kejayaan menjuarai liga semalam tidak diraikan penyokong PSG apabila sebahagian Ultras mereka meninggalkan stadium lebih awal sebagai bantahan kepada kegagalan di Liga Juara-Juara Eropah.

"Ia sesuatu yang saya tidak faham. Saya tahu mereka kecewa berkenaan Madrid, tetapi tiba masanya ia perlu dilupakan," kata pemain tengah Marco Verratti.

Tumpuan di Paris sekarang ialah sama ada penyerangnya Kylian Mbappe akan terus kekal bersama PSG atau menyertai Real Madrid musim depan. - AFP

Berita Harian X