Sabtu, 23 April 2022 | 5:52pm
Gambar fail - Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam. - Foto NSTP.
Gambar fail - Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam. - Foto NSTP.

Jadual Liga Super sah akan dipinda

KUALA LUMPUR: Masalah pasukan 'berat hati' untuk melepaskan pemain menyertai tugasan bersama pasukan senior dan skuad bawah 23 (B-23) tahun kebangsaan dijangka selesai selepas Liga Bolasepak Malaysia (MFL) sah akan meminda jadual Liga Super.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam berkata pindaan aksi Liga Super itu membabitkan perlawanan ketujuh hingga ke-10 musim ini bagi memberi laluan kepada persiapan skuad senior dan B-23 negara yang akan mengharungi kejohanan antarabangsa.

Katanya, sebanyak enam perlawanan Liga Super akan dipinda membabitkan penyelarasan antara Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan MFL berkaitan agenda pasukan kebangsaan B-23 yang bakal menyertai latihan pusat dan Sukan SEA Hanoi bermula 30 April sehingga 23 Mei ini.

"Merujuk kepada perbincangan MFL dan FAM sebelum ini, pasukan senior kebangsaan dan skuad B-23 akan menjalani latihan pusat bagi menghadapi kejohanan antarabangsa seperti pasukan kebangsaan akan menyertai latihan pusat bermula 19 sehingga 29 Mei 2022.

"Sementara skuad B-23 akan menjalani latihan pusat sebagai persiapan kepada kejohanan Sukan SEA 2022 Hanoi, Vietnam bermula 30 April sehingga 11 Mei 2022 dan kejohanan Piala AFC B-23 Uzbekistan bermula 24 hingga 31 Mei 2022.

"Pindaan perlawanan Liga Super ini penting kerana ia berkaitan dengan agenda kebangsaan dan saya juga merakamkan penghargaan kepada setiap kelab yang memberi kerjasama dan persetujuan menyempurnakan pindaan ini dengan meletakkan kepentingan negara sebagai keutamaan," katanya.

Sebelum ini, skuad B-23 kendalian Brad Maloney menerima tamparan hebat apabila dilaporkan hanya lima daripada 31 pemain yang disenarai melaporkan diri selepas difahamkan terdapat kelab enggan melepaskan pemain kerana komitmen aksi liga.

Bagi Sukan SEA nanti, skuad B-23 yang berada dalam Kumpulan B akan berhadapan Thailand pada 7 Mei, sebelum bertemu Laos (11 Mei), Singapura (14 Mei) dan Kemboja (16 Mei).

Sementara itu, skuad senior Harimau Malaya pula akan mengharungi aksi berdepan Turkmenistan pada 8 Jun, diikuti Bahrain (11 Jun) dan Bangladesh (14 Jun) dalam aksi Kumpulan E kempen Kelayakan Piala Asia 2023.

Dalam perkembangan sama, Stuart memaklumkan pindaan keseluruhan perlawanan minggu ke-10 juga dirancang selepas Malaysia diberi peluang menjadi tuan rumah kepada pusingan kelayakan Piala Asia 2023.

Katanya, dengan ketiadaan perjalanan dan tempoh kuarantin membabitkan pasukan kebangsaan di dalam fasa endemik, MFL dapat memberi tambahan hari untuk latihan pusat pasukan kendalian Kim Pan Gon sebelum aksi penting bulan Mei dan Jun ini.

"Kita mahu memberikan peluang kepada pasukan kebangsaan menjalani latihan pusat bermula 19 Mei bagi menghadapi perlawanan kelayakan Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil bermula 8 Jun.

"MFL juga ingin memaklumkan bahawa pindaan jadual seterusnya mungkin terpaksa dilakukan dengan mengambil kira kelayakan ke peringkat seterusnya (pusingan kalah mati) oleh mana-mana kelab Liga Malaysia iaitu Johor Darul Ta'zim (JDT), Kedah Darul Aman FC dan Kuala Lumpur City FC di dalam pertandingan anjuran Konfederasi Bolasepak Asia (AFC)," katanya.

Sementara itu, Stuart turut menjelaskan perlawanan pusingan kedua Piala FA membabitkan pasukan yang terbabit juga bakal dipinda sebelum diumumkan pada minggu depan.

Berita Harian X