Selasa, 19 April 2022 | 11:47am
Paris Saint-Germain bersedia menjual Neymar (kiri) bagi memastikan Kylian Mbappe (tengah) kekal bersama kelab itu. - Foto AGENSI
Paris Saint-Germain bersedia menjual Neymar (kiri) bagi memastikan Kylian Mbappe (tengah) kekal bersama kelab itu. - Foto AGENSI

PSG sedia jual Neymar demi Mbappe

PARIS: Paris Saint-Germain dilaporkan sudah bersedia dengan tiga pelan untuk menghalang Kylian Mbappe daripada meninggalkan kelab musim panas ini.

Pendahulu Ligue 1 itu ketika ini semakin hampir untuk kehilangan pemain Perancis berusia 23 tahun itu apabila kontraknya tamat akhir musim ini.

Dia dikaitkan dengan perpindahan ke Real Madrid, namun PSG masih belum berputus asa untuk mengekalkan Mbappe di Paris.

Perancangan pertama ialah menjual Neymar. Tanpa bintang Brazil itu, Lionel Messi akan menjadi sokongan kepada Mbappe yang menjadi tumpuan utama di barisan depan.

Rancangan radikal ini diharap mampu memujuk Mbappe untuk terus kekal bersama PSG.

Cara kedua ialah dengan menandatangani pemain baharu sekali gus memujuk Mbappe untuk kekal membarisi skuad kendalian Mauricio Pochettino dengan penambahan bintang Monaco Aurelien Tchouameni dan Paul Pogba dari Manchester United.

Cara ketiga ialah memberikan lilitan kapten kepada Mbappe. Buat masa ini bek tengah Marquinhos adalah kapten PSG.

Mbappe meledak 164 gol dalam 211 penampilan untuk PSG, termasuk 32 dalam 40 penampilan musim ini.

Anak buah Pochettino semakin hampir untuk menjuarai Ligue 1 musim ini selepas mendahului pesaing terdekat Marseille dengan kelebihan 15 mata ketika saingan berbaki enam perlawanan. - AGENSI

Berita Harian X