Ahad, 17 April 2022 | 1:09am
Pemain TFC II, Safwan (kiri) cuba mengekang pemain Kelantan United pada saingan Liga Perdana di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. - Foto FB MFL
Pemain TFC II, Safwan (kiri) cuba mengekang pemain Kelantan United pada saingan Liga Perdana di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. - Foto FB MFL

TFC II atasi Kelantan United FC

KUALA TERENGGANU: Terengganu FC II (TFC II) terpaksa 'mandi peluh' sebelum melakar kemenangan 1-0 menumpaskan Kelantan United FC (KUFC) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, di sini, malam tadi.

Penyerang utama skuad The Turtles, Jordan Mintah muncul wira pasukannya apabila meledak gol kemenangan itu pada masa kecederaan babak pertama.

Jaringan itu berpunca daripada hantaran jauh pemain import Filipina, Luke Woodland kepada Nur Azfar Fikri Azhar sebelum diberikan kepada Mintah yang bijak melepasi halangan tiga pertahanan skuad Kijang Hijau untuk meledak gol.

Terdahulu sepanjang aksi babak pertama, corak permainan diperagakan kedua-dua pasukan jelas hambar dengan bola lebih banyak 'berkampung' di bahagian tengah.

Cuma dua percubaan tepat dimiliki skuad tuan rumah bimbingan Badrul Afzan Razali menerusi sepakan percuma Amirul Syazwan Nor Azmi dari jarak kira-kira 22 meter pada minit kesembilan dan tandukan Muhammad Safwan Mazlan pada minit ke-32 sedikit mencemaskan kubu pelawat yang dikawal, Mohammad Fikri Che Soh.

KUFC yang dibimbing Syamsul Mohd Saad gagal memperoleh sebarang percubaan tepat ke arah pintu gol tuan rumah yang dikawal Syed Muhammad Nasrulhaq Syed Bidin.

Bersambung babak kedua, kedua-dua pasukan mengubah rentak permainan lebih pantas untuk memburu jaringan, namun buntu dengan kekebalan pertahanan lawan masing-masing.

Dengan keputusan itu, skuad The Turtles berjaya menambah tiga mata lagi menjadikan enam mata hasil tiga perlawanan. Begitu juga pelawat mengumpul enam mata hasil empat perlawanan.

Berita Harian X