Ahad, 17 April 2022 | 12:37am
Pemain Petaling Jaya City FC, Darren Lok (kiri) mengekang pemain Negeri Sembilan FC pada perlawanan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman. - NSTP/Azrul Edham
Pemain Petaling Jaya City FC, Darren Lok (kiri) mengekang pemain Negeri Sembilan FC pada perlawanan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman. - NSTP/Azrul Edham

Negeri Sembilan benam PJ City di Paroi

SEREMBAN: Negeri Sembilan FC (NSFC) memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri apabila menewaskan PJ City FC, 3-1 dalam aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, di sini, malam tadi.

Jaringan Herold Goulon, Sean Eugene Selvaraj dan Matheus Alves meletakkan skuad Hobin Jang Hobin memperbaiki kedudukan dalam carta liga hasil kutipan tiga mata.

Kedua-dua pasukan mempamerkan aksi agresif awal permainan bermula dengan Negeri Sembilan sudah menguji benteng PJ City pacda minit kedua melalui Matheus Alves tetapi percubaan dilakukannya sedikit tersasar.

Lima minit kemudian pelawat pula hampir berjaya mencipta jaringan pertama menerusi Darren Lok yang berjaya melepasi pertahanan tuan rumah namun bola sepakannya hasil gerakan sebelah kiri sekadar singgah ke bahagian kiri jaring.

Skuad Hobin Jang Hobin dilihat terus mengatur gerakan dalam usaha mendapatkan gol dan usaha mereka berhasil apabila mendapatkan sepakan penalti pada penghujung babak pertama.

Penalti itu diperoleh tuan rumah berpunca daripada tindakan penjaga gol PJ City, Kalamulah Al-Hafiz Mat Rowi yang melakukan kekasaran terhadap Alves pada minit ke-44 dan sepakan yang diambil Herold Goulon mudah menewaskan Kalamullah untuk gol pertama Negeri Sembilan.

Bersambung babak kedua, kedua- dua pasukan dilihat meningkatkan lagi keupayaan masing-masing dan saling melancarkan serangan ke kawasan lawan.

Percubaan kapten Negeri Sembilan Mohamad Zaquan Adha pada minit ke-60 selepas menerima hantaran dari bahagian tengah sedikit melepasi palang.

Namun begitu, menerusi serangan balas pantas, Darren berjaya memperdayakan penjaga gol Negeri Sembilan, Syihan Hazmi Mohamed menerusi jaringan penyamaan buat PJ City pada minit ke-63.

Jaringan itu jelas memberi tekanan buat skuad bimbingan K Devan yang dalam misi mendapatkan kemenangan selepas mencatatkan keputusan seri dalam dua perlawanan sebelum ini.

Usaha keras Negeri Sembilan mendapatkan gol kedua terhasil menerusi jaringan pemain gantian Sean pada minit ke-80, selepas dia bijak memperdayakan Kalamullah menerusi sepakan lambung yang melepasi jangkauan penjaga gol itu.

Alves kemudian melebarkan lagi jurang tuan rumah menerusi gol ketiga pada minit ke-85 hasil tandukan kemas ke gawang PJ City. Usaha pelawat untuk merapatkan tidak kesampaian apabila kedudukan 3-1 itu kekal sehingga wisel penamat.

Berita Harian X