Jumaat, 15 April 2022 | 12:24pm
Penyerang import TFC II, Jordan Mintah (bawah) dalam satu perlawanan sebelum ini . - Foto ihsan FB TFC
Penyerang import TFC II, Jordan Mintah (bawah) dalam satu perlawanan sebelum ini . - Foto ihsan FB TFC

Mintah yakin TFC II bangkit kecewakan Kelantan United

KUALA TERENGGANU: Kapten Terengganu FC II (TFC II), Jordan Mintah percaya mereka mampu bangkit merakam kemenangan berdepan Kelantan United FC pada aksi Liga Perdana di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, di sini, malam esok.

Ahad lalu, skuad The Turtles dikejutkan PDRM FC, 2-1, walaupun mendahului pasukan lawan itu sehingga minit ke-73.

Penjaring terbanyak Liga Perdana musim lalu itu dengan meledak 16 gol berkata tahap kecergasan beliau dan rakan sepasukannya kini dalam keadaan bersedia walaupun beraksi pada bulan Ramadan.

"Kekalahan kepada PDRM FC pada Ahad lalu perlu dijadikan pengajaran berguna buat kami untuk tidak lagi mengulangi kesilapan sama apabila berdepan dengan Kelantan United kerana sasaran kami adalah meraih tiga mata.

"Agak melegakan apabila semua pemain berada dalam keadaan bersedia selain tidak tertekan dengan kekalahan lalu untuk bangkit merakam kemenangan kedua musim ini.

"Saya juga percaya ketua jurulatih memiliki taktikal yang tersendiri bagi memastikan kami tidak berputih mata di tempat sendiri," kata Mintah ketika ditemui pada sesi latihan skuad Turtles di sini, semalam.

Sementara itu, pengendali TFC II, Badrul Afzan Razali mengingatkan anak buahnya agar tidak mengulangi kesilapan sama ketika menentang PDRM FC, sebaliknya mereka perlu kekal fokus sehingga minit terakhir perlawanan.

"Kesilapan individu ketika berdepan PDRM FC memusnahkan impian kita mengutip tiga mata. Jadi bagi aksi malam esok, pemain tidak boleh leka dan cepat selesa sebaliknya perlu mengikut taktikal yang dirancang bagi mengelak dijerat skuad pelawat," katanya.

Berita Harian X