Sabtu, 26 March 2022 | 1:03pm
Pengendali The Bos Gaurus, Yusri Che Lah. - Foto fail NSTP
Pengendali The Bos Gaurus, Yusri Che Lah. - Foto fail NSTP

'Saya tidak akan angkat kaki'

KUALA TERENGGANU: Walaupun terkilan dengan krisis dalaman yang melanda Perak FC, pengendali The Bos Gaurus, Yusri Che Lah menegaskan dia tidak akan 'angkat kaki' meninggalkan pasukannya dalam situasi genting ini.

Malah bekas pengendali skuad Projek FAM-MSN musim lalu itu juga meluahkan dia tidak sesekali menyesal berhijrah dan membimbing pasukan itu walaupun krisis dalaman skuad itu belum pasti sampai bila akan berakhir.

Bekas kapten skuad kebangsaan berusia 46 tahun itu bagaimanapun meletakkan harapan yang tinggi agar kemelut dan konflik di luar padang yang melanda kem pasukan itu segera berakhir bagi memastikan nasib kelab itu tidak terus dirundung malang.

Jelas jurulatih kelahiran Perlis itu, daripada 20 pemain yang didaftarkan musim ini, kini beliau hanya mempunyai 17 pemain yang 'mentah pengalaman' termasuk tiga penjaga gol, lebih parah tiga daripadanya mengalami kecederaan anterior cruciate ligament (ACL) yang terpaksa berehat panjang.

"Sejujurnya saya agak terkilan dengan apa yang berlaku dalam pasukan, mana-mana jurulatih pun sudah pasti akan merasai keadaan sama kerana hanya mempunyai pemain yang terhad musim ini dan ditambah kurang pengalaman.

"Sepanjang karier saya sebagai jurulatih, situasi ini paling mencabar kerana pertama kali mempunyai pemain yang begitu terhad selain pemain berkenaan pada awalnya tidak berada dalam perancangan saya musim ini.

Pemain Terengganu FC II, Mohd Syafiq Ismail (kanan) diasak pemain Perak FC, Muhammad Nasrol Amri pada perlawanan Liga Perdana di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. - NSTP/Ghazali Kori
Pemain Terengganu FC II, Mohd Syafiq Ismail (kanan) diasak pemain Perak FC, Muhammad Nasrol Amri pada perlawanan Liga Perdana di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. - NSTP/Ghazali Kori

"Saya tidak pasti sampai bila akan berdepan dengan situasi sebegini, jika ikut peraturan mungkin sehingga jendela kedua perpindahan pemain dibuka, namun ia juga bergantung kepada bayaran denda yang dikenakan kepada pihak pengurusan.

"Tapi saya tidak sesekali menyesal membimbing pasukan ini walaupun tertekan, mungkin saya akan terus bertahan ataupun sebaliknya, saya pun tidak pasti kerana perlu melihat perkembangan seterusnya.

"Seandainya saya tidak mampu lagi membimbing pasukan ini, jalan keluar (meletak jawatan) mungkin adalah lebih baik... tapi sejujurnya saya kasihan dengan pemain... saya tidak sanggup membiarkan mereka dalam situasi sebegini.

"Jika saya meninggalkan pasukan pun biarlah semuanya selesai tanpa sebarang masalah, lagipun aksi dipamerkan pemain tidak menunjukkan mereka bermasalah, saya harap peminat memahami situasi ini dan terus menyokong pasukan kerana mereka beraksi dan berkorban demi negeri walaupun pemain tidak mendapat gaji penuh sejak lima bulan lalu.

"Namun besar harapan saya usaha yang dilakukan pihak pengurusan dapat segera diselesaikan bagi memastikan pasukan dapat terus bersaing hebat dalam kancah Liga Perdana sekali gus kembali semula ke saingan Liga Super musim depan," katanya ketika ditemui selepas pasukannya tumpas 0-3 kepada Terengganu FC II (TFC II) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, malam tadi.

Mengulas pertemuan kedua pasukannya itu, bekas pemain Selangor itu tidak mahu mencipta alasan sebaliknya akui kekurangan pemain di tambah krisis melanda pasukannya menyebabkan skuad bimbingannya berada dalam tertekan.

Berita Harian X