Isnin, 21 March 2022 | 10:04pm
Ketua Jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan Gon (kanan) bersama pembantunya E Elavarasan (tengah) pada sesi latihan pasukan Harimau Malaya di Stadium Nasional Bukit Jalil sebelum berangkat ke Singapura esok. STR/HAZREEN MOHAMAD
Ketua Jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan Gon (kanan) bersama pembantunya E Elavarasan (tengah) pada sesi latihan pasukan Harimau Malaya di Stadium Nasional Bukit Jalil sebelum berangkat ke Singapura esok. STR/HAZREEN MOHAMAD

Pan Gon hairan Harimau Malaya gagal juarai Piala AFF

Kuala Lumpur: Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan Gon hairan mengapa skuad Harimau Malaya tersingkir awal dan gagal menjuarai Piala AFF, Disember lalu.

Pendedahan itu dibuat pemain sayap lincah, Faisal Abdul Halim yang mengakui jurulatih dari Korea Selatan berkenaan berpandangan skuad negara kendalian Tan Cheng Hoe ketika itu patut menjuarai kejohanan berprestij itu kerana memiliki skuad yang bagus.

"Dia (Pan Gon) cakap kenapa kita tak juara dalam Piala AFF, sepatutnya kita boleh juara. Dia cakap kita pasukan yang bagus, dia datang ke sini bukan untuk melatih kita tapi dia kata dia datang untuk menyokong kita dan memberi satu perubahan yang baharu," katanya.

Faisal berkata demikian ketika sesi terakhir latihan skuad negara di Stadium Nasional Bukit Jalil sebelum berangkat ke Singapura esok untuk tiga aksi persahabatan.

Sementara itu, Faisal yang lebih mesra disapa Mickey menegaskan dia dan rakan sepasukan perlu membuktikan kualiti serta keupayaan mereka untuk bersaing dalam kelayakan Piala Asia 2023 yang akan berlangsung di Kuala Lumpur, Jun ini.

Justeru, katanya, mereka perlu tunjuk 'taring' sebenar Harimau Malaya dengan memberikan persembahan terbaik dan meraih keputusan positif apabila berdepan Filipina dan Singapura dalam aksi persahabatan pada esok dan Sabtu ini.

Faisal menyifatkan dua perlawanan persahabatan itu penting dan akan memberi gambaran sebenar kekuatan Harimau Malaya.

"Kalau dalam dua perlawanan persahabatan ini kita tak boleh membuktikan yang pasukan kita terbaik, bagaimana kita nak berlawan di kelayakan Piala Asia nanti.

"Kita nak lawan Bahrain, Turkmenistan dan Bangladesh yang mana lebih bagus dari Filipina dan Singapura. Kalau dengan dua pasukan itu pun kita tak boleh nak bersaing, macam saya cakap bagaimana kita nak bersaing dalam Piala Asia.

"Setakat ini dalam pasukan sangat gembira dan kita nampak satu perubahan yang ketara. Apa yang boleh saya katakan pasukan kita tidak sabar untuk menentang Filipina dan jurulatih juga cakap dia tak sabar untuk menantikan perlawanan pertama, apa yang akan berlaku," katanya.

Selain berdepan Filipina dan Singapura, Harimau Malaya juga akan menentang pasukan kelab, Albirex Niigata Singapura, 28 Mac ini dengan semua perlawanan akan berlangsung di Singapura.

Aksi persahabatan itu akan menjadi tumpuan seluruh pemerhati dan peminat bola sepak negara kerana ia adalah tugasan pertama di bawah kendalian Pan Gon.

Berita Harian X