Ahad, 20 March 2022 | 7:11am
Penyerang Chelsea, Romelu Lukaku diberikan ucapan tahniah oleh pengurus, Thomas Tuchel ketika menentang Middlesbrough pada suku akhir Piala FA di Stadium Riverside, Middlesbrough, Britain. - REUTERS
Penyerang Chelsea, Romelu Lukaku diberikan ucapan tahniah oleh pengurus, Thomas Tuchel ketika menentang Middlesbrough pada suku akhir Piala FA di Stadium Riverside, Middlesbrough, Britain. - REUTERS

Lukaku bantu Chelsea ke separuh akhir Piala FA

MIDDLESBROUGH, United Kingdom: Thomas Tuchel memuji fokus Chelsea ketika mereka mara ke separuh akhir Piala FA buat musim ketiga berturut-turut selepas Romelu Lukaku memberi inspirasi kemenangan 2-0 mengatasi pasukan Liga Kejuaraan, Middlesbrough awal pagi tadi.

Dalam aksi yang berpotensi menghasilkan kejutan, skuad Tuchel tidak bermasalah apabila mencatat kemenangan keenam berturut-turut sejak Roman Abramovich meletakkan kelab juara Eropah itu untuk dijual.

Penyerang Belgium, Lukaku membuka jaringan yang juga gol keduanya dalam tujuh perlawanan.

Hakim Ziyech menambah kelebihan Chelsea sebelum rehat babak pertama di Stadium Riverside.

Pemain tengah Chelsea, Hakim Ziyech (kiri) diasak pemain Middlesbrough, Marcus Tavernier. - Foto AFP
Pemain tengah Chelsea, Hakim Ziyech (kiri) diasak pemain Middlesbrough, Marcus Tavernier. - Foto AFP

Skuad Blues menamatkan terus aksi itu dengan persembahan minimun bagi memastikan tempat ke kelompok empat terakhir di Wembley pada April ketika mereka tampak akan ke final buat tahun ketiga berturut-turut.

Pengendali dari Jerman itu terus membuatkan pemain Chelsea fokus di sebalik semua masalah yang berlaku.

Chelsea yang kini ketiga dalam Liga Perdana serta mara ke suku akhir Liga Juara-Juara, sudah menang 12 daripada 13 perlawanan terakhir kecuali penentuan final Piala Liga menentang Liverpool.

Ruben Loftus-Cheek mengekang pemain Middlesbrough, Aaron Connolly (kanan). - Foto Reuters
Ruben Loftus-Cheek mengekang pemain Middlesbrough, Aaron Connolly (kanan). - Foto Reuters

"Kami sangat fokus dan sangat serius sejak mula. Kami menunjukkan kualiti pada masa yang penting dan menjaringkan dua gol awal yang memberikan kami kelebihan selesa, tetapi usaha sangat bagus dilakukan untuk menghalang peluang besar," kata Tuchel.

"Saya kagum dengan fokus pemain. Kami menerima situasi berlaku dalam kelab kerana bukan kami yang menyebabkannya. Ia bukan di tangan kami, tapi adalah penting kami menunjukkan semangat yang betul dan mengambil tanggungjawab.

"Ini sangat bagus. Jika anda ada bakat, adalah satu tanggungjawab untuk menunjukkannya." - AFP

Reaksi pengendali Chelsea, Thomas Tuchel. - Foto Reuters
Reaksi pengendali Chelsea, Thomas Tuchel. - Foto Reuters

Berita Harian X