Isnin, 14 March 2022 | 10:14am
Pengendali Chelsea Thomas Tuchel (kanan) meraikan jaringan kemenangan Kai Havertz ketika aksi Liga Perdana Inggeris menentang Newcastle di Stamford Bridge, London. - Foto REUTERS
Pengendali Chelsea Thomas Tuchel (kanan) meraikan jaringan kemenangan Kai Havertz ketika aksi Liga Perdana Inggeris menentang Newcastle di Stamford Bridge, London. - Foto REUTERS

Tuchel kekal hingga akhir musim

LONDON: Thomas Tuchel menegaskan dia akan kekal di Chelsea sehingga akhir musim, tetapi pengendali The Blues itu tidak pasti sama ada dia akan terus bersama kelab berkenaan selepas itu.

Chelsea melupakan seketika masalah yang menyelubungi kelab susulan penggantungan ke atas pemiliknya Roman Abramovich dengan menewaskan Newcastle 1-0 hasil jaringan minit terakhir Kai Havertz.

Chelsea terjejas teruk akibat penggantungan ke atas jutawan Russia itu, menyebabkan mereka tidak dapat menandatangani pemain baharu, memperbaharui kontrak pemain sedia ada atau menjual tiket perlawanan.

Sekiranya Chelsea tidak dapat mencari pemilik baharu dalam masa terdekat, Tuchel dilaporkan akan mempertimbangkan untuk meninggalkan Stamford Bridge.

Pengendali dari Jerman itu membawa Chelsea menjuarai Liga Juara-Juara Eropah dan Piala Dunia Kelab sejak mengambil alih kelab itu, dan dia dikaitkan dengan perpindahan ke Manchester United.

"Tidak ragu-ragu lagi saya akan kekal hingga ke akhir musim. Kami hanya perlu menunggu hari demi hari kerana semuanya boleh berubah.

"Kelab ini akan dijual dan saya harap ia dapat diselesaikan. Jadi kena tunggu dari hari ke hari, di mana ia adalah cara yang bagus untuk menjalani kehidupan," kata Tuchel.

Cara Tuchel meraikan jaringan kemenangan Havertz memberi isyarat yang dia masih bersemangat untuk terus membimbing pasukan itu.

Namun dengan United masih mencari pengendali tetap bagi menggantikan Ralf Rangnick musim panas ini, nama bos Chelsea itu bakal mengisi senarai calon di Old Trafford. - AFP

Berita Harian X