PARIS: Paris Saint-Germain menewaskan Bordeaux 3-0 dalam saingan Ligue 1 tetapi penyokong melepaskan geram dengan mengejek Lionel Messi dan Neymar susulan kelab itu tersingkir daripada Liga Juara-Juara Eropah.
Hanya Kylian Mbappe, yang menjaringkan dua gol ketika kekalahan kepada Real Madrid dalam kelompok 16 terakhir, terlepas daripada kemarahan penyokong.
Mbappe sekali lagi menemui sasaran dengan membuka jaringan pada minit keempat aksi Ligue 1 itu semalam, manakala Neymar dan Leandro Paredes menambah dua lagi gol di babak kedua.
PSG kini mengumpul 15 mata di depan Marseille dan Nice untuk berada selesa di puncak Ligue 1 dan berada di landasan terbaik bagi menyamai rekod 10 gelaran Saint-Etienne.
Namun kejayaan domestik tidak mampu menebus kekecewaan peminat dengan pemenang tujuh kali Ballon d'Or Messi diejek oleh penyokong sendiri setiap kali dia menyentuh bola.
Pengendali PSG Mauricio Pochettino berkata pemain-pemainnya sedih dengan tindakan peminat kelab itu.
"Sedih. Saya rasa itu perkataan yang tepat. Kesedihan mengharungi petang seperti ini di Parc des Princes. Messi dan Neymar? Kita semua terjejas, kami faham kekecewaan (peminat), kami turut merasainya.
"Tetapi kami bertanggungjawab. Kami menerimanya sebagai satu pasukan dan akan kekal bersatu sehingga akhir," kata Pochettino. - AFP