Sabtu, 12 March 2022 | 2:51pm
Liridon (tengah) kembali dipanggil sertai skuad kebangsaan oleh Pan Gon.
Liridon (tengah) kembali dipanggil sertai skuad kebangsaan oleh Pan Gon.

'Liridon jangan buat hal'

KUALA LUMPUR: Keputusan jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan Gon menyenaraikan Liridon Krasniqi untuk menyertai latihan pusat Harimau Malaya boleh dianggap sebagai panggilan keemasan buat pemain naturalisasi itu membuktikan kemampuannya.

Justeru, jurulatih berpengalaman, Azraai Khor Abdullah menegaskan bahawa pemain tengah berusia 30 tahun itu perlu menggunakan peluang berkenaan sebaik mungkin untuk meraih kepercayaan menyarung jersi Harimau Malaya.

"Kalau ikut orang lain, saya rasa Liridon tiada dalam pasukan kebangsaan, dengan perangai dia. Mungkin Pan Gon tak kenal dia lagi.

"Jadi, ini satu peluang keemasan dia untuk buktikan. Jangan dia datang buat hal, jual mahal ke apa. Kalau dia nak betul-betul, ambil peluang ini," kata Azraai kepada BH Sukan.

Liridon menjadi salah seorang pemain yang dikritik hebat ketika tampil bersama Harimau Malaya dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Dubai, tahun lalu selepas gagal mempamerkan aksi yang diharapkan.

Menerusi senarai 30 pemain yang diumumkan Pan Gon, kelmarin, seorang lagi pemain naturalisasi yang turut dikritik hebat, Guilherme De Paula pula tidak dipanggil selepas sebelum ini membarisi skuad di kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 dan Piala AFF 2020.

Pengendali dari Korea Selatan itu turut memanggil semula bekas kapten Harimau Malaya yang sudah lama tidak menyertai skuad kebangsaan, Safiq Rahim bersama beberapa pemain lain termasuk Nor Azam Azih untuk mengemudi bahagian tengah.

Mengulas mengenai senarai pemain itu, Azraai tampak tidak terkejut kerana menganggap itu sahaja antara pemain terbaik yang Harimau Malaya ada ketika ini.

"Saya rasa itu pemain tempatan yang terbaik sekarang ini. Pilihan tak lari jauh, kalau kita tengok senarai Tan Cheng Hoe dengan senarai dia (Pan Gon) itu.

"Mungkin beberapa pemain yang dia panggil semula seperti Safiq, Nor Azam, Ramadhan (Saifullah Usman) dan itu yang kita ada dalam liga sebenarnya.

"Kita tengok Darren Lok bermain dengan PJ City, dia ada usaha, jadi elok bagi peluang. Syafiq (Ahmad) pula main dengan Kedah mula dapat sentuhan dan mudah-mudahan dia diberi peluang dalam pasukan kebangsaan.

"Lagi pun liga pula baru mula dan dia (Pan Gon) baru sampai. Itu memadai dengan jangka masa yang dia ada dekat sini," katanya.

Latihan pusat yang akan bermula pada Isnin ini adalah sebagai persiapan untuk Harimau Malaya menghadapi tiga aksi persahabatan berdepan Filipina pada 23 Mac ini sebelum berdepan Singapura (26 Mac) dan Albirex Niigata Singapura (28 Mac).

Berita Harian X