Jumaat, 11 March 2022 | 11:45am
Al-Khelaifi (kanan) bersama Leonardo dan Pochettino.
Al-Khelaifi (kanan) bersama Leonardo dan Pochettino.

UEFA siasat insiden serang bilik pengadil

LAUSANNE: Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) akan membuka kertas siasatan tatatertib terhadap Presiden Paris Saint Germain (PSG), Nasser Al-Khelaifi dan pengarah sukan Leonardo selepas mereka menyerang bilik pengadil sejurus kelab berkenaan tersingkir dalam saingan Liga Juara-Juara, semalam.

Prosedur itu berdasarkan peraturan UEFA yang membabitkan 'prinsip am kelakuan' serta 'salah tingkah laku pemain dan pegawai', kata seorang jurucakap UEFA kepada AFP.

PSG melepaskan peluang mendahului 2-0 sebelum tewas dengan agregat 3-2 di Santiago Bernabeu, yang menyaksikan penyerang Real Madrid, Karim Benzema melakar hatrik dan kelab milik Qatar itu terkeluar dalam pusingan 16 terbaik.

Sumber mengesahkan Al Khelaifi dan Leonardo bergegas turun dari ruang tempat duduk mereka selepas wisel penamat dan Leonardo menghentak pintu bilik persalinan pengadil.

Mereka dipercayai tidak berpuas hati dengan gol pertama Benzema, apabila penjaga gol PSG Gianluigi Donnarumma tidak diberikan sepakan percuma, walaupun diasak oleh Benzema.

Jurulatih PSG, Mauricio Pochettino dalam sidang media selepas perlawanan berkata, ia adalah 'kesalahan yang jelas' dan menyebabkan pemain merasakan 'tidak diberikan keadilan sewajarnya'.

Menurut akhbar Madrid, Marca, Al-Khelaifi malah menyerbu masuk ke bilik yang salah dan dibiarkan berdepan dengan delegasi perlawanan Real Madrid, Megia Davila.

"Beliau kemudiannya terpaksa dikeluarkan dengan keras dan beberapa orang terpaksa campur tangan," tulis Marca.

Ketegangan antara Real Madrid dan PSG semakin meningkat, dengan Real dijangka menandatangani penyerang bintang mereka Kylian Mbappe pada pertengahan tahun ini.

Mbappe setakat ini enggan menyambung kontraknya di kelab berkenaan. - AFP

Berita Harian X