WATFORD: Arsenal melonjak ke posisi Liga Juara-Juara selepas meraih kemenangan 3-2 ke atas Watford pada aksi yang menghasilkan lima jaringan berkualiti sebentar tadi.
The Hornets yang kekal di zon penyingkiran beranggapan mereka mendahului seawal 20 saat menerusi Emmanuel Dennis namun dibatalkan kerana ofsaid.
Martin Odegaard meletakkan The Gunners di hadapan tidak lama kemudian selepas melambungkan bola ke arah Bukayo Saka sebelum berlari ke tengah untuk menyudahkan hantaran lintang Saka.
Watford mengikat kedudukan menerusi jaringan akrobatik Cucho Hernandez hasil hantaran lintang Kiko Femenia pada minit ke-11.
Pelawat kembali mendahului menerusi Saka pada minit ke-30 sebelum bintang England itu turut terbabit dalam gerakan gol ketiga yang disudahkan Gabriel Martinelli pada babak kedua.
Moussa Sissoko merapatkan jurang pada minit akhir perlawanan namun Watford gagal mendapatkan satu lagi gol untuk menyamakan kedudukan.
Kemenangan itu membolehkan skuad bimbingan Mikel Arteta itu mengatasi Manchester United di tangga keempat dengan kelebihan satu mata sekurang-kurangnya untuk beberapa jam kerana United akan berdepan Manchester City selepas ini. - AGENSI