Sabtu, 26 Februari 2022 | 9:00am
Pengendali JDT, Benjamin Mora (kiri) bersama penjaga gol JDT, Farizal Marlias (dua dari kiri); pemain KL City FC, Safee Sali (dua dari kanan) dan ketua jurulatih KL City FC, Bojan Hodak (kanan) bergambar bersama Piala Sultan Haji Ahmad Shah pada sidang media di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor, semalam. - Foto NSTP/Nur Aisyah Mazalan.
Pengendali JDT, Benjamin Mora (kiri) bersama penjaga gol JDT, Farizal Marlias (dua dari kiri); pemain KL City FC, Safee Sali (dua dari kanan) dan ketua jurulatih KL City FC, Bojan Hodak (kanan) bergambar bersama Piala Sultan Haji Ahmad Shah pada sidang media di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor, semalam. - Foto NSTP/Nur Aisyah Mazalan.

JDT atau KL City - pasukan mana menang malam ini?

KUALA LUMPUR: 'Prittttttttttttt..'

'Dan itu dia wisel panjang menamatkan aksi di Stadium Nasional Bukit Jalil..Kuala Lumpur City mencipta sejarah..penantian 32 tahun ternoktah sudah ada malam ini..' Dua jaringan yang dihasilkan pada separuh masa kedua memastikan KL City ditabalkan sebagai juara Piala Malaysia 2021.'

Kelihatan wajah pengendali KL City FC, Bojan Hodak sudah 'kemerahan' apabila berpelukan dengan barisan kejurulatihan mnakala pemain pula meluru bak kilat ke dalam padang meraikan 'pejuang' yang mengejutkan gergasi bola sepak tempatan, Johor Darul Ta'zim (JDT).

Penjaring gol kedua yang juga kapten, Paulo Josue melutut sambil menghela nafas kelegaan selain pemain menjerit kepuasan. Penjaga gol, Kevin Mendoza pula dikerumuni selepas aksi cemerlang menutup gawang daripada dibolosi skuad Harimau Selatan.

Itu skrip luar biasa yang tercatat pada final Piala Malaysia 2021, November lalu dan tiga bulan kemudian, dua pasukan sama sekali lagi akan berentap dan kali ini, Piala Sultan Haji Ahmad Shah bakal menjadi pertaruhannya.

Edisi kali ini jauh berbeza kerana tidak lagi menjadi perlawanan liga dan 'stand alone'. Tiada lagi pasukan akan mendapat mata ataupun kehilangan mata dan lantas ada yang beranggapan aksi ini tidak begitu 'rancak'.

Benar tiada mata yang ditawarkan jadi si kalah mungkin tidak merasa apa-apa kecuali bertepuk tangan sambil kesugulan melihat pemenang menjulang trofi. Namun trofi ini boleh menghantar isyarat sebagai cabaran kepada pasukan lain dalam Liga Super.

Berdasarkan rekod, anak buah Benjamin Mora jelas lebih unggul terutama selepas JDT menjadi 'pasukan tetap' dalam Piala Sumbangsih - tujuh penampilan berturut turut kerana hanya mereka yang membolot kejuaraan Liga Super.

Daripada tujuh perlawanan, mereka hanya membenarkan piala itu terlepas sekali di tangan Kedah pada 2017 dan dalam aksi 90 minit, mereka hanya terikat sebanyak dua kali iaitu bersama Kedah (2017) dan Selangor (2016).

Selain itu, mereka menang lima pertemuan dalam tempoh 90 minit sekali gus membuktikan skuad Harimau Selatan pandai 'membereskan' kerja untuk menjulang trofi terbabit.

Reputasi JDT di kandang sendiri pula memang mengagumkan. Justeru Hodak dan panglima perang mereka pasti berdepan laluan penuh ranjau di Stadium Sultan Ibrahim.

Selepas KL City FC menamatkan penantian 32 tahun menjulang Piala Malaysia, mungkin malam ini akan menjadi malam mereka menamatkan penantian 22 tahun memenangi Piala Sumbangsih pula?

Kisah dongeng mereka di Piala Malaysia sudah dikhatamkan. Jadi tiba masa mereka mencipta satu lagi kisah dongeng yang pasti akan hangat diperkatakan sekurang-kurangnya untuk seminggu oleh penyokong bola sepak tempatan.

Adakah Hodak masih memiliki strategi yang padu kerana kali ini mereka akan berdepan JDT yang dibarisi beberapa pemain import baharu - belang Harimau Selatan pasti akan 'dibebaskan' pada malam ini.

Selepas dikecewakan skuad The Cityboys dan aksi Mora dengan papan taktikal di pentas akhir Piala Malaysia menjadi bahan gurauan di media sosial, ini adalah masanya untuk mereka membalas dengan gambar Mora menjulang Piala Sumbangsih.

Mungkinkah tuah sekali lagi akan mengiringi KL City memandangkan berdasarkan buku 'The Numbers Game' oleh Chris Anderson dan David Sally, bola sepak adalah 50 peratus kemahiran dan 50 peratus adalah tuah.

Atau mereka perlu mencipta satu lagi keajaiban seperti yang pernah diperkatakan perejam Akademi Shiratorizawa dari animasi terkenal Jepun, Haikyuu, Goshiki Tsutomu - 'Tuah? Tidak mungkin..kamu hanya akan menjadi bintang kalau kamu mampu mencipta keajaiban.'

Apapun, ini adalah masanya untuk mereka membuktikan kemenangan ke atas JDT sebelum ini bukanlah nasib semata-mata tetapi memang mereka mampu. Jadi tunjukkan sekali lagi pada malam ini wahai KL City FC.

Ini bukan lagi pertarungan kecil anak ataupun pertarungan 'gergasi menentang pasukan kerdil' kerana dua pasukan yang berentap ini adalah berstatus juara. Juara Liga Super berdepan juara Piala Malaysia untuk merebut kejuaraan pembuka tirai.

Berita Harian X