Jumaat, 25 Februari 2022 | 3:28pm
Gambar fail - Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Gambar fail - Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

TMJ undur, jika JDT kalah lagi kepada KL City

KUALA LUMPUR: Juara Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) tidak ada pilihan selain perlu memenangi perlawanan Sumbangsih Piala Sultan Haji Ahmad Shah esok seandainya tidak mahu kehilangan bos mereka, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Ini kerana Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ) itu akan bersara daripada aktiviti bola sepak sekiranya skuad Harimau Selatan itu kecundang buat kali kedua di tangan KL City FC pada aksi di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor itu.

"Jikalau kalah esok, saya tinggalkan bola sepak sepenuhnya dan tidak akan terlibat lagi dengan apa-apa aktiviti bola sepak dalam negara," kata Tunku Ismail menerusi akaun Instagram miliknya.

Apapun, kenyataan berani Tunku Ismail itu juga boleh dianggap sebagai gambaran keyakinannya yang begitu tinggi terhadap anak buahnya untuk menjulang trofi pembuka tirai itu.

Tunku Ismail menerusi satu temubual bersama stesen televisyen swasta sebelum ini juga pernah memberi jaminan bahawa peristiwa pahit pasukan itu kalah 0-2 di tangan KL City di final Piala Malaysia musim lalu tidak akan berulang lagi.

"Masa lawan Kuala Lumpur, kita kalah di (final) Piala Malaysia 2-0 bukan kerana Kuala Lumpur lebih baik daripada kami, saya boleh jamin. Kalau esok itu juga awak suruh lawan Kuala Lumpur, benda itu tidak akan berlaku dan benda itu tidak akan berlaku lagi.

"Tapi kita buat kesilapan individu, mungkin hilang fokus atau sebagainya dan kita kalah. Memang hari itu orang kata tak ada nasib, empat lima peluang di depan gol masa babak pertama tak masuk, kena tiang dan sebagainya.

"Jadi tiada nasib. Tapi saya tahu yang benda itu tidak akan berlaku lagi dan saya boleh jamin. Ia kerana saya yakin dengan pemain yang ada dalam pasukan ini, bukan nak cakap besar," katanya.

Berita Harian X