Rabu, 23 Februari 2022 | 6:07pm
Pengendali skuad Harimau Malaya, Kim Pan Gon (kanan) dan E Elavarasan. - Foto ihsan Facebook FAM.
Pengendali skuad Harimau Malaya, Kim Pan Gon (kanan) dan E Elavarasan. - Foto ihsan Facebook FAM.

Elavarasan dipilih jadi penolong Pan Gon

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih skuad Harimau Malaya, Kim Pan Gon memilih pengendali Sarawak United, E Elavarasan bagi menggalas tugas sebagai penolong jurulatih tempatan dalam barisan kejurulatihan skuad kebangsaan di bawah kendaliannya.

Jurulatih dari Korea Selatan itu mengakui Elavarasan menepati kriteria utama yang dikehendakinya iaitu seorang jurulatih yang berpengalaman luas dengan senario bola sepak Malaysia dan cukup mengenali pemain-pemain yang sedang beraksi dalam kancah Liga Malaysia (Liga M).

"Selepas meneliti calon yang sudah ditemuduga oleh Pengarah Teknikal FAM, Scott O'Donell sebelum ini, saya sendiri bertemu Elavarasan untuk menemu duga beliau.

"Saya melihat Elavarasan sebagai calon terbaik dan individu paling sesuai untuk membantu saya dalam memberi informasi tepat, nasihat dan pendapat serta beberapa perkara lain.

"Saya melihat Elavarasan sebagai seorang jurulatih yang jujur, komited dan beliau sedia untuk memberi sepenuh kerjasama dalam usaha membantu barisan kejurulatihan baharu ini mengembalikan skuad Harimau Malaya ke satu tahap prestasi yang lebih baik," kata Pan Gon dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Elavarasan yang tidak pernah terbabit dalam mana-mana pasukan di bawah naungan FAM sebelum ini menyifatkan pelantikannya sebagai satu penghormatan.

"Saya melihat tugasan ini sebagai satu cabaran dan juga peluang untuk saya menyumbang di peringkat kebangsaan. Saya gembira diberi peluang terbabit dalam projek Pan Gon.

"Saya berharap semua anggota kejurulatihan di bawah seliaan Pan Gon dapat mencipta keserasian dengan segera untuk menghadapi tugasan utama tidak lama lagi.

"Saya juga mengucapkan terima kasih kepada majikan saya, Sarawak United yang sudi melepaskan saya lebih awal daripada kontrak saya dan tidak lupa kepada pemain dan penyokong yang memberi kerjasama kepada saya sepanjang khidmat saya di Sarawak United," katanya.

Berita Harian X