Selasa, 22 Februari 2022 | 8:50pm
Pengarah Teknikal Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Scott O’Donell . - Foto BERNAMA
Pengarah Teknikal Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Scott O’Donell . - Foto BERNAMA

Bukan skuad terkuat Malaysia ke Kemboja

KUALA LUMPUR: Pasukan bawah 23 (B-23) tahun negara yang beraksi pada Kejuaraan B-23 Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2022 di Kemboja bukan skuad terkuat Malaysia bagi peringkat umur itu.

Ia kerana pemain seperti Arif Aiman Hanapi, Luqman Hakim Shamsuddin, Mukhairi Ajmal Mahadi dan beberapa pemain terbaik yang lain tidak berada dalam pasukan yang disingkirkan Laos pada peringkat kumpulan kejohanan itu, semalam.

Pengarah Teknikal Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Scott O'Donell berkata pihaknya bersetuju bahawa objektif pasukan itu adalah untuk memilih beberapa pemain yang tidak pernah diberi peluang beraksi di kejohanan antarabangsa.

"Kami mengambil kira bahawa kebanyakan pemain dari kategori umur yang sudah memantapkan diri dalam pasukan Liga Super dan Liga Perdana tidak dilepaskan daripada pasukan masing-masing kerana kejohanan itu berada di luar jendela FIFA," katanya.

Bagaimanapun, O'Donell berkata pasukan yang beraksi dalam Kejuaraan B-23 AFF itu pada asasnya adalah gabungan daripada kumpulan 50 pemain dalam kategori umur yang dikenal pasti oleh Maloney sepanjang tahun lalu.

Kumpulan pemain yang dikenal pasti Maloney itu termasuk Arif Aiman, Luqman, Mukhairi, Ramadhan Saifullah, Danial Asri, Sharul Nazeem Zulpakar, Quentin Cheng, Nathaniel Shio Hong Wan, Azri Abdul Ghani dan Rahadiazli Rahalim.

Mereka masih boleh dipilih untuk menghadapi Piala Asia B-23 di Uzbekistan tahun ini, namun tertakluk kepada perbincangan lanjut Maloney dengan ketua jurulatih skuad senior kebangsaan, Kim Pan Gon yang turut perlu membentuk skuad Harimau Malaya ke kelayakan Piala Asia 2023 pada Jun ini.

Ia kerana pemain seperti Arif Aiman, Luqman, Mukhairi, Ramadhan dan Akhyar Rashid sudah berstatus pemain antarabangsa kerana pernah bersama pasukan senior Harimau Malaya.

Selain itu, pemain muda lain termasuk Nik Akif Syahiran Nik Mat dan Hadi Fayyadh Abdul Razak juga masih boleh dipanggil untuk bersama skuad ke Piala Asia B-23.

Mengulas mengenai dua kekalahan berdepan Laos, O' Donell berkata pasukan Maloney mendominasi penguasaan bola pada perlawanan pertama namun tidak berjaya melakukan penyudah dengan baik.

"Sebab itulah kejohanan ini sangat penting untuk menguji pemain di pentas antarabangsa. Jelas sekali situasi COVID-19 tidak membantu perkara itu," katanya.

Berita Harian X