Isnin, 21 Februari 2022 | 8:04pm
Bekas pemain Akademi Mokhtar Dahari (AMD) (dari kiri), Aidil Nazrin, Muhammad Azrul Iman, Muhammad Adam Uwais dan Ahmad Rozaini bersama TFC II bagi saingan musim ini. Foto NSTP/Ghazali Kori.
Bekas pemain Akademi Mokhtar Dahari (AMD) (dari kiri), Aidil Nazrin, Muhammad Azrul Iman, Muhammad Adam Uwais dan Ahmad Rozaini bersama TFC II bagi saingan musim ini. Foto NSTP/Ghazali Kori.

Prestasi bekas pelatih AMD membanggakan kejurulatihan TFC II

KUALA TERENGGANU: Prestasi baik dipamerkan empat bekas pelatih Akademi Mokhtar Dahari (AMD) yang kini bersama Terengganu FC II (TFC II) membanggakan barisan kejurulatihan skuad The Turtles itu.

Hakikat ini diakui ketua jurulatih skuad itu, Badrul Afzan Razali yang melihat kehadiran pemain berkenaan sebagai prospek besar kepada pembangunan pasukan bola sepak Terengganu.

Pemain berkenaan adalah Muhammad Adam Uwais Mohd Armi yang beraksi di posisi tengah, Aidil Nazrin Ahmad (penyerang), Muhamad Azrul Iman Muhamad Yusof (pertahanan) dan Ahmad Rozaini Abu Bakar (pertahanan).

Semua pemain berusia 18 tahun itu yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), tidak lama lagi mula bersama pasukan itu musim ini dalam mengharungi kancah Liga Perdana.

"Kehadiran empat pemain daripada AMD itu mampu memberikan impak yang positif buat pasukan terutama dalam misi memburu rekod yang lebih baik berbanding musim lalu.

"Berdasarkan sesi latihan dan beberapa aksi persahabatan sebelum ini, prospek skuad TFC II itu menunjukkan peningkatan prestasi begitu ketara.

"Jika minit permainan bertambah dan pendedahan kerap diberikan, saya berkeyakinan mereka mampu berada dalam kesebelasan utama pasukan walaupun baharu bersama musim ini," kata Badrul Afzan yang kini bersama pemainnya berada di Kuala Lumpur dalam siri aksi pemanas badan.

Selain empat pemain AMD itu, skuad The Turtles itu turut diperkuatkan bekas pertahanan tengah skuad Projek FAM-MSN musim lalu, Muhammad Safwan Mazlan, 20 yang juga pemain skuad kebangsaan Bawah 23 Tahun (B-23).

"Walaupun pemain yang membarisi skuad kami adalah mereka yang berusia bawah 25 tahun, tapi kesungguhan dan peningkatan yang dipamerkan mereka begitu mengagumkan kami," kata bekas pemain tengah Terengganu itu.

Pada saingan kejohanan empat penjuru Piala Menteri Besar awal bulan ini, skuad The Turtles itu melakar kejutan apabila muncul juara edisi kedua itu dengan mengetepikan cabaran tiga pasukan Liga Super iaitu Terengganu FC (TFC), Sri Pahang FC dan Penang FC.

Berita Harian X