Isnin, 21 Februari 2022 | 6:58pm
Jurulatih skuad Harimau Malaya, Kim Pan Gon bercakap ketika sidang media pengumuman barisan kejurulatihan Harimau Malaya di Wisma FAM, Kelana Jaya pada Khamis lalu. - Foto NSTP/Asyraf Hamzah.
Jurulatih skuad Harimau Malaya, Kim Pan Gon bercakap ketika sidang media pengumuman barisan kejurulatihan Harimau Malaya di Wisma FAM, Kelana Jaya pada Khamis lalu. - Foto NSTP/Asyraf Hamzah.

Pasukan Liga M diminta beri sokongan kepada Pan Gon

KUALA LUMPUR: Bekas jurulatih Harimau Muda, Azraai Khor Abdullah berharap pasukan Liga Malaysia (Liga M) memberi sokongan penuh kepada ketua jurulatih skuad Harimau Malaya, Kim Pan Gon dan agenda kebangsaan tahun ini dalam misi melayakkan diri ke Piala Asia 2023.

Azraai yang pernah membawa Kedah menjulang kejuaraan 'treble' tidak menafikan pasukan kebangsaan bakal tampil dengan prestasi baharu di bawah kendalian pengendali dari Korea Selatan itu.

"Saya fikir dia (Pan Gon) perlu pergi ke negeri-negeri sebaik sahaja liga bermula pada 4 Mac untuk melihat pemain, atau mereka boleh mengunjungi FA dan FC di Malaysia untuk mendapatkan maklumat pengenalan.

"Dia boleh bercakap dengan jurulatih, pengarah teknikal dan sebagainya selepas perlawanan hanya untuk mendapatkan penilaian yang lebih baik mengenai setiap situasi pemain yang mana dari situlah dia akan peroleh gambaran lebih jelas mengenai pemain untuk dipanggil pada Mac.

"Perkara lain yang mereka perlu lihat adalah kalendar aksi domestik kita. Mereka perlu mengadakan perbincangan untuk memastikan kerjasama daripada semua pasukan Liga M mengenai pemain yang dipilih," katanya.

Selain itu, Azraai turut mengakui bahawa dia tidak sabar untuk melihat perubahan dan peningkatan yang akan dibawa oleh Pan Gon dan pasukan kejurulatihannya buat skuad Harimau Malaya.

Pelantikan Pan Gon dibuat selepas Tan Cheng Hoe melepaskan jawatan sebagai ketua jurulatih skuad kebangsaan susulan kegagalan Harimau Malaya di Piala AFF 2020, Disember lalu.

Bagi kempen kelayakan Piala Asia 2023 yang akan berlangsung pada Jun ini, Malaysia turut tersenarai dalam enam negara yang akan menjadi tuan rumah untuk kejohanan itu selain Kyrgyzstan, Uzbekistan, India, Kuwait and Mongolia.

Berita Harian X