Jumaat, 18 Februari 2022 | 8:38pm
Gambar fail - Presiden Perancis, Emmanuel Macron (kiri) bersama Kylian Mbappe sebelum ini. - Foto ihsan 24 News Recorder.
Gambar fail - Presiden Perancis, Emmanuel Macron (kiri) bersama Kylian Mbappe sebelum ini. - Foto ihsan 24 News Recorder.

Presiden Perancis dilapor turut pujuk Mbappe kekal di PSG

PARIS: Presiden Perancis, Emmanuel Macron dilaporkan cuba untuk memujuk Kylian Mbappe supaya dapat terus kekal bersama Paris Saint Germain (PSG).

Gergasi Ligue 1 itu terdesak bagi memastikan bintang berusia 23 tahun itu menandatangani kontrak baharu di Parc des Princes.

Kontrak Mbappe hanya berbaki empat bulan lagi dengan Real Madrid dijangka menandatangani pemain itu secara percuma pada musim panas nanti.

Namun menurut AS, PSG mengharapkan 'bantuan' daripada presiden supaya pemain itu dapat terus bersama pasukan itu.

Mereka mendakwa Macron begitu mahukan Mbappe supaya kekal di Perancis dan hasratnya memang jelas supaya perkara itu dapat direalisasikan.

Pada musim panas lalu, Macron berkata 'PSG adalah kelab hebat yang membantu dia untuk berkembang dan saya rasa amat penting supaya dia kekal dengan pasukan itu - untuk pasukan dan juga kejuaraan Perancis.'

Bekas presiden Perancis, Nicolas Sarkozy juga didakwa cuba untuk mempengaruhi keputusan Mbappe.

Bekas presiden berusia 67 tahun itu hadir di stadium ktika menyaksikan PSG menewaskan Real Madrid 1-0, Selasa lalu. Namun Mbappe menegaskan masa depannya belum lagi diputuskan.

"Saya belum putuskan masa depan saya. Saya beraksi untuk PSG, salah satu pasukan terbaik di dunia.

"Perlawanan ini (menentang Real Madrid) akan mempengaruhi masa depan saya? Tidak. saya belum putuskannya.

"Saya akan memberikan yang terbaik dan kita tunggu apa yang akan terjadi pada musim depan."

- AGENSI

Berita Harian X