Khamis, 17 Februari 2022 | 4:15pm
Jurulatih skuad Harimau Malaya, Kim Pan Gon (tengah) pada sidang media memperkenalkan beliau dan barisan kejurulatihan di Wisma FAM, Kelana Jaya, hari ini. Turut hadir (dari kiri) jurulatih penjaga gol, Cho Junho; jurulatih kecergasan, Dr Gokhan Kandemir; penolong jurulatih, Pau Marti Vicente dan jurulatih analisis prestasi, Lim Jaehun. - NSTP/Asyraf Hamzah
Jurulatih skuad Harimau Malaya, Kim Pan Gon (tengah) pada sidang media memperkenalkan beliau dan barisan kejurulatihan di Wisma FAM, Kelana Jaya, hari ini. Turut hadir (dari kiri) jurulatih penjaga gol, Cho Junho; jurulatih kecergasan, Dr Gokhan Kandemir; penolong jurulatih, Pau Marti Vicente dan jurulatih analisis prestasi, Lim Jaehun. - NSTP/Asyraf Hamzah

Tekad jurulatih baharu skuad Harimau Malaya

PETALING JAYA: Memperbaiki prestasi dan membawa skuad kebangsaan ke peringkat lebih tinggi menjadi antara fokus utama pengendali baharu skuad Harimau Malaya, Kim Pan Gon.

Pengendali dari Korea Selatan itu percaya skuad kebangsaan memiliki potensi untuk menjadi pasukan yang lebih baik dan mengharapkan semua pihak memberi kerjasama kepada beliau melakukan penambahbaikan dalam pasukan itu.

Sedar dengan tempoh singkat yang terpaksa diharungi terutama untuk mempersiapkan pasukan menghadapi kelayakan Piala Asia 2023 pada Jun ini, bekas pengendali Hong Kong itu berkata dia akan cuba melakukan yang terbaik untuk skuad Harimau Malaya meraih keputusan positif.

"Bagi mempersiapkan pasukan untuk kelayakan Piala Asia, kami mempunyai tempoh yang singkat dan akan melakukan persiapan pada Mac.

"Sudah pasti saya memerlukan masa untuk mengenali setiap pemain. Saya akan cuba melakukan sebanyak mungkin analisis terhadap pemain yang ada berpotensi untuk mewakili pasukan kebangsaan.

"Kita perlukan kekuatan dari segi mental dan fizikal kerana tanpa dua perkara itu kita tak boleh memberikan saingan hebat. Saya mempunyai pengalaman dan jika diberikan masa, pasukan yang kuat boleh dibentuk," katanya.

Pan Gon berkata demikian pada sidang media memperkenalkan beliau sebagai jurulatih baharu skuad Harimau Malaya di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Kelana Jaya, di sini, hari ini.

Turut diperkenalkan pada majlis itu adalah empat pembantunya iaitu Pau Marti Vicente selaku penolong jurulatih, Cho Junho (jurulatih penjaga gol), Dr Gokhan Kandemir (jurulatih kecergasan) dan Lim Jaehun (jurulatih analisis prestasi pasukan).

Mengenai penolong jurulatih tempatan, Pan Gon menjelaskan dia memerlukan sedikit masa untuk berbincang dan menilai calon yang ada sebelum membuat pengumuman rasmi.

''Saya sudah menerima beberapa maklumat calon dan mungkin cuba berjumpa mereka secara individu serta akan berbincang dengan pengarah teknikal untuk mendapatkan calon yang terbaik.

"Ia mungkin tidak terlalu lama kerana saya memerlukan seseorang untuk membantu saya, individu tempatan dan mengharapkan seseorang di sini (Malaysia) untuk memberikan maklumat yang tepat kepada saya," katanya.

Berita Harian X