Sabtu, 5 Februari 2022 | 6:17pm
Pan Gon (tengah) diberi kebebasan memilih pembantunya.
Pan Gon (tengah) diberi kebebasan memilih pembantunya.

Pan Gon pilih pembantu sendiri

KUALA LUMPUR: Ketua Jurulatih baharu skuad kebangsaan Kim Pan Gon bebas untuk memilih mana-mana jurulatih kelab sebagai pembantunya.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Mohd Saifuddin Abu Bakar berkata pihaknya juga bersedia menjadi orang tengah antara Pan Gon dengan kelab berkenaan untuk memastikan proses pelantikan Penolong Ketua Jurulatih skuad Harimau Malaya itu berjalan lancar.

"Bagi FAM kalau dia (Pan Gon) pilih sebegitu, kita kena bincang dengan kelab dan sudah tentu kalau jurulatih itu mempunyai kontrak, dia juga perlu berbincang dengan kelabnya sama ada boleh dilepaskan atau tidak.

Sudah pasti kita akan bantu, kalau betul-betul Pan Gon inginkan jurulatih itu kita akan bantu untuk bercakap dengan kelab tersebut," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata FAM memberikan kebebasan kepada bekas pengurus pasukan bola sepak kebangsaan Hong Kong dari Korea Selatan itu untuk memilih mana-mana individu yang dirasakan layak menjadi pembantunya, serta tidak meletakkan sebarang kriteria khusus bagi jawatan berkenaan.

Menurutnya, apa yang menjadi keutamaan adalah Pan Gon mendapat sokongan sewajarnya untuk menjalankan tanggungjawab memulihkan prestasi pasukan negara yang merosot dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini.

Tugasan pertama Pan Gon dan barisan kejurulatihan adalah memantau prestasi pemain pada saingan Liga Malaysia 2022 yang dijadual bermula hujung bulan ini, sebelum mengendalikan kem latihan pusat skuad kebangsaan pada Mac.

Beliau kemudian akan membimbing skuad negara untuk menghadapi pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2023 pada Jun ini, dalam misi menamatkan penantian lebih 40 tahun Malaysia layak secara merit ke pusingan akhir kejohanan peringkat benua itu.

Bernama sebelum ini melaporkan Pengarah Teknikal FAM Scott O'Donell sedang meneliti 10 calon, termasuk seorang jurulatih yang mempunyai "nama besar", sebagai memenuhi permintaan Pan Gon untuk mendapatkan khidmat seorang jurulatih tempatan bagi membantunya.

Difahamkan, Penolong Ketua Jurulatih Selangor FC Mohd Nidzam Jamil dan Ketua Jurulatih Terengganu FC Mohd Nafuzi Mohd Zain, adalah antara yang menarik diri untuk dicalonkan kerana menghormati kontrak bersama kelab masing-masing.

Berita Harian X