Khamis, 27 Januari 2022 | 7:57am
Bintang Mesir Mohamed Salah meraikan jaringan kemenangan ke atas Ivory Coast dalam aksi Piala Negara-Negara Afrika di Stade de Japoma, Douala. - Foto AFP
Bintang Mesir Mohamed Salah meraikan jaringan kemenangan ke atas Ivory Coast dalam aksi Piala Negara-Negara Afrika di Stade de Japoma, Douala. - Foto AFP

Penalti Salah bawa Mesir ke suku akhir

DOUALA, Cameroon: Mohamed Salah menyempurnakan penalti kemenangan bagi membantu Mesir menewaskan Ivory Coast dan mara ke suku akhir Piala Negara-Negara Afrika, di mana penganjur kejohanan terpaksa menukar venue dua perlawanan bermasalah dari Douala ke Yaounde.

Bintang Liverpool itu menemui sasaran dengan pemain Ivory Coast Eric Bailly satu-satunya pemain yang gagal menyempurnakan sepakan dalam penentuan penalti di Douala, di mana Mesir menang 5-4 selepas terikat tanpa jaringan sepanjang 120 minit.

Mesir, juara yang memegang rekod tujuh kejuaraan benua itu, akan bertemu Maghribi di suku akhir di Yaounde Ahad ini.

Skuad kendalian Carlos Queiroz mara ke kelompok lapan terakhir itu walaupun hanya menjaringkan dua gol dalam empat perlawanan di Cameroon setakat ini.

"Kadang-kadang penalti adalah loteri, tetapi hari ini saya rasa pasukan terbaik di atas padang dihadiahkan penalti pada akhir permainan. Hari ini hari kami," kata Queiroz.

Ini adalah pertembungan ke-11 mereka di Piala Negara-Negara Afrika dan Mesir hanya tewas sekali di tangan Ivory Coast - dan antara kemenangan paling bermakna ke atas skuad The Elephants ialah pada final 2006 menerusi penentuan penalti.

Pasukan ke suku akhir dilengkapi oleh Equatorial Guinea, yang mengejutkan Mali 6-5 juga menerusi penentuan penalti selepas terikat 0-0 di Limbe.

Konfederasi Bolasepak Afrika (CAF) mengesahkan dua perlawanan terakhir yang dijadualkan di Stadium Olembe di Yaounde akan dipindahkan ke Stadium Ahmadou Ahidjo selepas insiden yang mengorbankan nyawa lapan penonton dan 38 yang lain tercedera sebelum aksi antara Cameroon dan Comoros. - AFP

Berita Harian X