Rabu, 26 Januari 2022 | 9:03pm
Penyerang Juventus, Alvaro Morata kini dalam radar Barcelona. - Foto ihsan The Sun
Penyerang Juventus, Alvaro Morata kini dalam radar Barcelona. - Foto ihsan The Sun

Barcelona kian kesuntukan waktu daftar Morata

MADRID: Barcelona berdepan kesuntukan masa untuk melaraskan kewangan mereka sewajarnya bagi membolehkan Alvaro Morata didaftarkan untuk pasukan ini.

Hasrat mereka untuk mengikat penyerang Juventus itu ketika ini berisiko untuk gagal susulan Fair Play Kewangan (FFP).

Skuad Catalan itu terdesak untuk mendapatkan penyerang baharu pada bulan ini dan Xavi mahu menambah sengat di jentera serangan susulan prestasi hambar dua penyerang mereka, Luuk de Jong dan Memphis Depay.

Morata dikaitkan dengan perpindahan ke Nou Camp apatah lagi Juventus hampir mengikat penyerang baharu, Dusan Vlahovic pada jendela perpindahan kali ini.

Media melaporkan Barcelona perlu menyelesaikan masalah 'dalaman' mereka sebelum mengucapkan selamat datang kepada Morata.

Undang-undang FFP bermakna mereka tidak boleh mendaftarkan penyerang itu sekalipun mendapat kebenaran daripada kelab asal pemain itu, Atletico Madrid.

Ini menyaksikan pengurusan perlu mengurangkan tanggungan gaji buat pasukan itu bagi memberi ruang kepada bekas penyerang Chelsea dan Ousmane Dembele akan menjadi kunci untuk membolehkan perpindahan itu dilaksanakan.

Dembele masih enggan untuk menandatangani kontrak baharu yang menawarkan gaji lebih rendah, namun kontraknya akan berakhir pada hujung musim ini.

Sebelum ini, Barcelona berdepan masalah sama untuk mendaftarkan Ferran Torres namun pertahanannya, Samuel Umtiti bersetuju dengan pengurangan gaji.

- AGENSI

Berita Harian X