Selasa, 25 Januari 2022 | 8:00pm
Bek kiri Comoros, Chaker Alhadhur menjadi penjaga gol ‘bidan terjun’ ketika menentang Cameroon pada aksi 16 terbaik Piala Negara-Negara Afrika di Stade d'Olembe, hari ini. -AFP
Bek kiri Comoros, Chaker Alhadhur menjadi penjaga gol ‘bidan terjun’ ketika menentang Cameroon pada aksi 16 terbaik Piala Negara-Negara Afrika di Stade d'Olembe, hari ini. -AFP

Alhadur lebih baik daripada De Gea

LONDON: Sekiranya ada pemenang dalam kekalahan di atas ataupun di luar padang - ia sepatutnya menjadi milik Chaker Alhadur.

Bermain sebagai penjaga gol selepas Comoros kehilangan tiga penjaga gol mereka, bek kiri itu mencuri tumpuan penyokong apabila pasukan yang beraksi dengan 10 pemain itu memberi tentangan hebat kepada Cameroon di Piala Negara-Negara Afrika, pagi tadi.

Penjaga gol 'bidan terjun' dilabel 'lebih proaktif daripada David de Gea' dan 'kelakar tetapi hebat' selepas menyelamatkan empat percubaan pihak lawan.

Tindakannya yang meletakkan tangan ke belakang apabila terlupa dia adalah penjaga gol ketika cuba menghalang percubaan dari Cameroon turut menarik minat penyokong bola sepak dunia.

Cameroon menang 2-1 pada aksi terbabit hasil jaringan Karl Toko Ekambi dan Vincent Aboubakar sebelum jaringan sagu hati menakjubkan menerusi Youssouf M'Changama.

Sebelum tiga gol terbabit, pemain tengah Comoros, Nadjim Abdou dilayangkan kad merah sekali gus pasukan itu dijangka akan berdepan kekalahan besar.

Namun, Alhadur memperagakan aksi terbaiknya sebagai penjaga gol dengan paling menarik perhatian apabila dia menyelamatkan dua percubaan berturut-turut dari Cameroon.

Comoros terpaksa meletakkan Alhadur di posisi itu selepas Salim Ben Boina mengalami kecederaan sementara dua lagi penjaga gol, Ali Ahamada dan Moyadh Ousseini didapati positif COVID-19.

Pasukan yang menghuni ranking ke-132 dunia itu mengharapkan Ahamada dapat diturunkan apabila didapati negatif COVID-19 pada sebelah pagi namun Konfederasi Bolasepak Afrika kekal dengan protokol ketat mereka.

Namun, setidak-tidaknya Alhadur boleh dijulang sebagai wira buat Comoros. -AGENSI

Berita Harian X