Selasa, 25 Januari 2022 | 9:13am
Watford memecat Claudio Ranieri selepas aksi hambar musim ini. - EPA
Watford memecat Claudio Ranieri selepas aksi hambar musim ini. - EPA

Watford pecat Ranieri

LONDON: Watford memecat ketua jurulatih, Claudio Ranieri hari ini selepas hanya tiga bulan mengemudi kelab itu berikutan keputusan buruk yang menyebabkan kelab Liga Perdana itu berada dalam zon penyingkiran.

Perlawanan terakhir Ranieri ialah Jumaat lalu ketika tewas 3-0 di laman sendiri kepada kelab yang juga bergelut Norwich City.

"Majlis Hornets menghormati Claudio sebagai individu berintegriti dan penuh rasa hormat, yang sentiasa akan dihormati di Vicarage Road kerana usahanya mengetuai pasukan," kata Watford dalam satu kenyataan.

"Bagaimanapun ahli majlis merasakan bahawa berbaki separuh kempen Liga Perdana, perubahan dalam jawatan ketua jurulatih akan memberikan masa secukupnya... bagi mencapai sasaran kekal dengan status di Liga Perdana."

Watford yang baharu naik taraf musim lalu, kini di kedudukan ke-19 selepas tujuh kekalahan dan satu seri dalam lapan aksi terakhir.

Ranieri, 70, mengambil alih pasukan pada Oktober apabila Xisco Munoz meninggalkan kelab itu hanya selepas tujuh aksi liga dan Watford di kedudukan ke-14. - REUTERS

Berita Harian X