Isnin, 24 Januari 2022 | 10:04am
Pemain Tunisia meraikan jaringan Youssef Msakni (kiri) ketika saingan Piala Negara-Negara Afrika menentang Nigeria di Stade Roumde Adjia dekat Garoua. - AFP
Pemain Tunisia meraikan jaringan Youssef Msakni (kiri) ketika saingan Piala Negara-Negara Afrika menentang Nigeria di Stade Roumde Adjia dekat Garoua. - AFP

Tunisia kejutkan Nigeria

YAOUNDE: Tunisia mengejutkan Nigeria dan Burkina Faso mengatasi Gabon awal pagi tadi untuk menempah tiket ke kelompok lapan terakhir Piala Negara-Negara Afrika.

Pasukan kerdil, Comoros pula bersedia menggunakan pemain di posisi lain sebagai penjaga gol untuk berdepan tuan rumah, Cameroon.

Pemain veteran, Youssef Msakni meledak dua minit selepas babak kedua bagi memberikan kemenangan 1-0 buat Tunisia ketika mengatasi Nigeria di Garoua.

Harapan Nigeria untuk layak berdepan ancaman besar pada pertengahan babak kedua apabila Alex Iwobi, yang sebelum itu dilayangkan kad kuning kerana memijak Msakni, dibuang padang selepas pengadil melihat rakaman VAR.

Pada perlawanan lain kelompok 16 terakhir itu, Burkina Faso memerlukan penentuan penalti untuk menyingkirkan Gabon, yang memaksa seri 1-1 selepas tambahan masa dan bertahan 56 minit bersama 10 pemain selepas Sidney Obissa dilayangkan kad merah.

Pemain gantian, Ismahila Ouedraogo memberikan kemenangan 7-6 buat Stallions selepas sepakan Lloyd Palun terkena palang buat Gabon di Limbe.

Ketika semua tiga penjaga gol tidak boleh digunakan kerana positif COVID-19 dan kecederaan, Comoros akan meletakkan pemain lain di gawang ketika mereka akan menentang Cameroon malam ini.

Sesiapa sahaja yang akan dipilih dekat Yaounde itu, dia pasti akan berdepan Vincent Aboubakar, penjaring terbanyak setakat ini dalam kejohanan ulung di Afrika itu dengan lima gol dalam tiga perlawanan kumpulan.

Pendatang baharu, Comoros, yang mewakili negara Lautan Hindi dengan penduduk kurang sejuta orang, mengejutkan juara empat kali, Ghana untuk mata ke pusingan kedua sebagai antara pasukan ketiga terbaik. - AFP

Berita Harian X