Ahad, 23 Januari 2022 | 5:55pm
Gambar fail - Pengendali baharu skuad Harimau Malaya, Kim Pan Gon.
Gambar fail - Pengendali baharu skuad Harimau Malaya, Kim Pan Gon.

Peminat menaruh harapan tinggi kepada Kim Pan Gon

KUALA LUMPUR: Meskipun belum memulakan tugas secara rasmi, harapan tinggi tetap diletakkan peminat ke atas bahu ketua jurulatih baharu skuad kebangsaan, Kim Pan Gon untuk memperbaiki 'kerosakan' dalam pasukan Harimau Malaya.

Penyokong skuad Harimau Malaya, Mohd Faizal Wahid menjelaskan perkara pertama yang perlu dilakukan jurulatih dari Korea Selatan itu adalah membuktikan bahawa dia boleh membawa perubahan lebih baik dari apa yang dilakukan Tan Cheng Hoe.

Faizal yang juga Presiden Kelab Penyokong Anak Selangor (ASFC) berkata, harapan utama peminat ketika ini hanya mahu melihat satu kemajuan dalam skuad Harimau Malaya.

Katanya, semua kelab juga perlu memberikan kerjasama yang baik kepada usaha Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Pan Gon untuk membawa skuad kebangsaan ke tahap lebih baik.

"Jangan ada kelab yang enggan lepas pemain dan benda ini mungkin boleh berlaku apabila selepas sepak mula saingan musim ini. Jurulatih yang baharu ini juga perlu mencari pemain yang benar-benar layak menyarung jersi skuad kebangsaan.

"Kita nak tengok dia boleh buat perubahan lebih baik dari Cheng Hoe. Malah, Cheng Hoe adalah jurulatih tempatan dan pernah membawa perubahan kepada pasukan negara.

"Semua mata juga akan tertumpu kepada jurulatih yang baharu dilantik ini, satu kesilapan kecil akan membawa padah. Harapan penyokong pun memang tinggi," katanya kepada BH Sukan.

Pan Gon dijangka tiba di Malaysia pada awal bulan depan bersama-sama empat pembantunya iaitu seorang penolong jurulatih, seorang jurulatih penjaga gol, seorang jurulatih kecergasan dan seorang juruanalisis.

Sementara itu, Safarizal Sobri menegaskan Pan Gon perlu diberi kebebasan untuk membuat keputusan sendiri terutama dalam pemilihan pemain tanpa ada campur tangan dari pihak lain.

Dia yang juga Pengerusi Kelab Penyokong Jaguh Utara (JUFC) berkata, bekas pengendali Hong Kong itu perlu diberi masa yang secukupnya untuk membawa pembaharuan walaupun latar belakangnya sebagai jurulatih tidaklah begitu memuaskan.

"Korea Selatan antara negara yang hebat dalam bola sepak di Asia, jadi itu mungkin satu faktor membolehkan FAM ambil jurulatih dari negara itu. Kalau lihat dulu jurulatih Vietnam (Park Hang Seo) pun tiada apa-apa (pencapaian cemerlang) dari awal, tapi dia berjaya mengubah pasukan Vietnam jadi hebat.

"Paling penting jangan ada campur tangan. Kalau tidak, datanglah jurulatih hebat mana pun, tapi kalau FAM masih ada orang yang buat kacau rasanya tetap tak berjaya.

"Biarkan jurulatih itu buat kerjanya 100 peratus dan kalau dari segi pemilihan pemain, rasanya tak perlu dia tanya pengurusan FAM dulu, dia perlu buat keputusan sendiri. Penyokong pun teruja nak tengok perubahan yang dia bawa," katanya.

Berita Harian X