Sabtu, 22 Januari 2022 | 7:46am
Penyerang Norwich City Josh Sargent meraikan jaringan ketika aksi Liga Perdana Inggeris menentang Watford di Stadium Vicarage Road, Watford. - Foto AFP
Penyerang Norwich City Josh Sargent meraikan jaringan ketika aksi Liga Perdana Inggeris menentang Watford di Stadium Vicarage Road, Watford. - Foto AFP

Sargent bawa Norwich ke zon selamat

WATFORD: Norwich melonjak keluar dari zon penyingkiran Liga Perdana Inggeris buat pertama kali musim ini selepas dua gol Josh Sargent membantu mereka menewaskan Watford 3-0 di Vicarage Road.

Watford sebaliknya tergelincir ke dalam kelompok tiga tercorot selepas mengharungi sembilan perlawan tanpa kemenangan, sekali gus menambah tekanan ke atas pengendalinya Claudio Ranieri.

Sargent tidak meledak sebarang gol liga sejak perpindahannya dari Werder Bremen Ogos lalu, tetapi menemui sasaran pada saat penting untuk The Canaries mengelak penyingkiran.

"Mendapatkan gol pertama dan kedua selepas itu adalah cukup gila. Ia perlawanan penting buat kami jadi ini malam yang sangat baik.

"Setiap perlawanan penting buat kami, tetapi merakam kemenangan ke atas pasukan yang betul-betul di atas kami adalah satu kemenangan besar," kata Sargent.

Pemain Amerika itu membuka jaringan enam minit selepas rehat sebelum permainan terhenti akibat masalah lampu limpah. Sebaik permainan bersambung, Sargent menanduk hantaran Milot Rashica untuk gol keduanya.

Watford bertambah malang apabila penjaring terbanyaknya Emmanuel Dennis dibuang padang selepas menerima kad kuning kedua.

Jaringan sendiri Juraj Kucka dalam masa kecederaan melengkapkan kemenangan Norwich yang kini dua mata di atas garis penyingkiran, namun ketiga-tiga pasukan di bawahnya mempunyai perlawanan di tangan.

Newcastle dan Watford bermain kurang dua perlawanan berbanding anak buah Dean Smith, manakala Burnley mempunyai lima perlawanan untuk mengatasi jurang lima mata. - AFP

Berita Harian X