Rabu, 19 Januari 2022 | 8:57am
Penyerang Comoros Ahmed Mogni (kiri) meraikan jaringan kemenangan ke atas Ghana dalam aksi Kumpulan C Piala Negara-Negara Afrika di Stade Roumde Adjia, Garoua. - Foto AFP
Penyerang Comoros Ahmed Mogni (kiri) meraikan jaringan kemenangan ke atas Ghana dalam aksi Kumpulan C Piala Negara-Negara Afrika di Stade Roumde Adjia, Garoua. - Foto AFP

Piala Negara-Negara Afrika: Comoros singkir Ghana

YAOUNDE, Cameroon: Juara empat kali Ghana tersingkir daripada Piala Negara-Negara Afrika selepas tewas 3-2 di tangan pasukan kerdil Comoros dalam saingan Kumpulan C di Garoua.

The Black Stars menyaksikan kapten mereka Andre Ayew dibuang padang pada minit ke-25, dan selepas memadamkan defisit dua gol, Ghana dikecewakan dengan gol kedua Ahmed Mogni untuk Comoros lima minit sebelum tamat.

Maghribi dan Gabon seri 2-2 di Yaounde dalam satu lagi aksi kumpulan berkenaan untuk mengekalkan kedudukan di tempat pertama dan kedua, sekali gus layak ke pusingan 16 terakhir yang bermula Ahad ini.

Comoros, mewakili negara kepulauan kecil di tenggara Afrika, berada di tempat ketiga dan perlu menunggu baki perlawanan hari ini bagi melihat sama ada mereka berada dalam kelompok empat pasukan tempat ketiga terbaik.

Penyerang Ghana, Andre Ayew (bawah kiri) bertembung dengan penjaga gol Coloros, Salim Ben Boina. - Foto AFP
Penyerang Ghana, Andre Ayew (bawah kiri) bertembung dengan penjaga gol Coloros, Salim Ben Boina. - Foto AFP

"Kami tidak memperlahankan rentak selepas Ghana menyamakan kedudukan. Kami sentiasa percaya yang kami mampu merakam kemenangan istimewa buat negara.

"Saya memasukkan penyerang dengan harapan untuk menjaringkan gol ketiga dan keputusan saya membuahkan hasil. Sekarang kami perlu tunggu untuk melihat sekiranya kami layak ke pusingan seterusnya.

"Kami berpuas hati dengan corak permainan kami. Kami kekal dengan perancangan awal. Kami belajar daripada kesilapan perlawanan-perlawanan sebelumnya," kata pengendali Comoros Amir Abdou yang membimbing pasukan itu sejak tahun 2014. - AFP

Berita Harian X