Ahad, 16 Januari 2022 | 8:27am
Penyerang Chelsea, Romelu Lukaku gagal menyerlah berbanding rakan senegara dari Manchester City, Kevin De Bruyne pada aksi Liga Perdana malam tadi. - REUTERS
Penyerang Chelsea, Romelu Lukaku gagal menyerlah berbanding rakan senegara dari Manchester City, Kevin De Bruyne pada aksi Liga Perdana malam tadi. - REUTERS

Lukaku 'tak boleh bersembunyi'

MANCHESTER, United Kingdom: Bos Chelsea, Thomas Tuchel menyuarakan rasa kecewa terhadap Romelu Lukaku selepas jaringan hebat Kevin De Bruyne menewaskan Blues 1-0 seterusnya membuka jurang 13 mata di persada liga.

Dalam kisah dua pemain antarabangsa Belgium itu, Lukaku melepaskan peluang untuk membalas kritikan terhadapnya pada awal babak kedua sebelum De Bruyne menampilkan aksi terhebat dengan meledak gol dari luar kotak penalti.

Ia adalah kemenangan ke-12 berturut-turut buat City yang makin mengukuhkan cengkaman bagi mengejar mahkota keempat dalam lima musim.

Chelsea mengatasi skuad kendalian Pep Guardiola pada final Liga Juara-Juara musim lalu namun kini hanya ada sasaran memastikan tempat ke saingan Eropah musim depan.

Skuad Blues kekal di tangga kedua dan hanya menang satu daripada enam saingan terakhir liga.

"Pemain serangan kami perlu lebih bagus. Kami perlukan konsistensi. Chelsea bukanlah tempat untuk bersembunyi," kata Tuchel.

Lukaku sepatutnya menjadi aspek terakhir diperlukan untuk menukar juara Eropah itu menjadi pencabar City.

Namun dia hanya menjaringkan dua gol dalam 11 penampilan terakhir liga dan diketepikan kerana menyuarakan rasa tidak gembira sejak perpindahan dari Inter Milan.

Dan Tuchel menolak tanggapan bahawa penyerang itu perlu mendapat bantuan sepenuhnya.

"Kadangkala dia perlu melakukannya sendiri," kata pengendali dari Jerman itu. "Dia banyak kehilangan bola tanpa sebarang tekanan. Dia ada peluang yang besar.

"Sudah tentu kami mahu memberikan bantuan terbaik buatnya tetapi persembahan di bahagian depan perlu dilakukan dengan lebih baik." - AFP

Berita Harian X