Ahad, 2 Januari 2022 | 7:45am
Penyerang West Ham United Michail Antonio (tengah) meraikan jaringan pembukaan ketika menentang Crystal Palace di Selhurst Park. - Foto REUTERS
Penyerang West Ham United Michail Antonio (tengah) meraikan jaringan pembukaan ketika menentang Crystal Palace di Selhurst Park. - Foto REUTERS

West Ham hampiri empat teratas

LONDON: West Ham United membuka tirai Tahun Baru dengan kemenangan 3-2 ke atas Crystal Palace dan kembali berpeluang memburu kelompok empat teratas Liga Perdana Inggeris.

Manuel Lanzini meledak dua kali di Selhurst Park selepas jaringan pembukaan Michail Antonio, sebelum tuan rumah bangkit dengan dua gol di akhir permainan, untuk meletakkan West Ham hanya satu mata di belakang Arsenal yang menghuni tangga keempat.

West Ham kendalian David Moyes kini mengutip 34 mata, satu di depan Tottenham Hotspur dan tiga mengatasi Manchester United walapun kedua-dua pesaingnya itu bermain kurang dua perlawanan.

Gol-gol Palace yang dikendali Patrick Vieira dijaringkan oleh Odsonne Edouard dan pemain gantian Michael Olise.

"Crystal Palace menampilkan aksi bola sepak luar biasa. Cara pengendali mencorak permainan mereka amat berkualiti.

Penjaga gol Crystal Palace, Vicente Guaita menyelamatkan gawangnya dari dibolosi pemain West Ham. - Foto AFP
Penjaga gol Crystal Palace, Vicente Guaita menyelamatkan gawangnya dari dibolosi pemain West Ham. - Foto AFP

"Sepanjang perlawanan mereka mengasak kami tetapi apabila ada peluang kami memanfaatkannya. Mereka berjaya mendapat dua gol dan kami terpaksa bertahan.

"Anda lihat sendiri tekanan yang mereka letakkan ke atas kami tetapi kami berjaya menanganinya dan mengutip tiga mata untuk memulakan tahun ini," kata Antonio.

Pertemuan antara kedua-dua pasukan pada Ogos berakhir dengan 2-2 dan pertahanan Palace Joachim Andersen berkata ia kekalahan yang sukar ditelan.

"Kami sudah bertemu West Ham dua kali dan kami menguasai permainan setiap kali. Saya rasa kami sepatutnya menang perlawanan ini dengan mudah.

"Mereka mempunyai dua peluang dan satu penalti yang bukan penalti. Kami sepatutnya menang perlawanan ini," kata Andersen. - REUTERS

Berita Harian X