Rabu, 29 Disember 2021 | 7:10am
Reaksi pengurus Liverpool, Juergen Klopp dan James Milner selepas saingan Liga Perdana menentang Leicester City di Leicester, Britain. - EPA
Reaksi pengurus Liverpool, Juergen Klopp dan James Milner selepas saingan Liga Perdana menentang Leicester City di Leicester, Britain. - EPA

Liverpool tumbang di Leicester

LONDON: Jurgen Klopp mengakui Liverpool hanya boleh menyalahkan diri sendiri selepas kekalahan mengejut 1-0 di tangan Leicester dalam saingan menyaksikan Mohamed Salah gagal menyempurnakan penalti dan gol kemenangan Ademola Lookman mengganggu cabaran Reds mengejar gelaran awal pagi tadi.

Skuad kendalian Klopp melihat rentetan 10 perlawanan tanpa kalah mereka ditamatkan menerusi jaringan babak kedua Lookman.

Liverpool kini ketinggalan enam mata di belakang pendahulu, Manchester dengan juara bertahan itu akan menentang Brentford awal pagi esok.

Kalah buat pertama kali sejak tewas 3-2 di tangan West Ham pada November, Liverpool perlu membayar harga yang mahal kerana mensia-siakan banyak peluang.

Kasper Schmeichel menyelamatkan penalti Salah pada babak pertama ketika Liverpool gagal menjaringkan gol dalam liga pertama kali sejak Mac.

"Kami tidak cukup bagus. Kami masih ada banyak peluang. Apa yang kami lakukan dengan bola tidak betul. Kami bermain perlawanan yang buruk," kata Klopp.

"Kami sepatutnya boleh bertahan dengan lebih baik. Biasanya kami boleh lakukannya, kenapa kami tidak melakukannya hari ini sukar untuk dijelaskan. Ada banyak persembahan di bawah tahap normal."

Kejatuhan prestasi Liverpool kerana COVID-19 dan kecederaan tampak jelas ketika menentang Leicester yang dibelasah 6-3 oleh City Ahad lalu.

Ia juga memberikan tekanan tambahan buat mereka bagi mengutip mata maksimum berdepan pencabar gelaran, Chelsea pada saingan Ahad nanti.

"Ia jurang yang besar. Pada ketika ini ia bukan masalah saya. Jika kami bermain bola sepak normal, bola sepak Liverpool, kami ada peluang menang lebih banyak perlawanan," kata Klopp.

"Perkara pertama ialah tidak lagi melakukan perkara seperti ini. Kami hilang rentak dan tidak begitu tenang untuk mendapatkannya semula. Itu salah kami." - AFP

Berita Harian X