Isnin, 27 Disember 2021 | 6:56am
Pemain tengah Manchester City Raheem Sterling menyempurnakan sepakan penalti ketika aksi Liga Perdana Inggeris menentang Leicester City di Stadium Etihad. - Foto AFP
Pemain tengah Manchester City Raheem Sterling menyempurnakan sepakan penalti ketika aksi Liga Perdana Inggeris menentang Leicester City di Stadium Etihad. - Foto AFP

Man City terus selesa di puncak liga

LONDON: Manchester City mendahului Liga Perdana Inggeris dengan kelebihan enam mata selepas membelasah Leicester 6-3.

Tiga daripada perlawanan Hari Boxing terpaksa ditunda akibat COVID-19 dengan Britain kembali bergelut menangani lonjakan kes yang disebabkan oleh varian Omicron.

Awal minggu ini, kelab-kelab Liga Perdana Inggeris menolak cadangan untuk menghentikan sementara liga bagi memutuskan rantaian jangkitan.

Penangguhan liga dilihat sebagai satu-satunya jalan untuk memperlahankan pemburuan gelaran keempat dalam lima musim City di mana anak buah Pep Guardiola kini memenangi sembilan perlawanan liga berturut-turut.

Pesta gol City di Stadium Etihad bermula dengan empat gol dalam tempoh 25 minit pertama. Kevin de Bruyne membuka jaringan sebelum Riyad Mahrez menyempurnakan sepakan penalti ke atas kelab lamanya.

Ilkay Gundogan menjadikan kedudukan 3-0 sebelum Raheem Sterling mendapatkan penalti kedua dan menyempurnakannya.

Leicester bangkit di babak kedua dengan James Maddison membuka jaringan sebelum mencetus serangan balas yang disudahkan oleh Ademola Lookman.

Kelechi Iheanacho menjadikan kedudukan 4-3 selepas memanfaatkan percubaan Maddison yang ditepis Ederson tetapi sekadar terkena palang.

City bagaimanapun kembali melebarkan jurang dan memastikan tiga mata menerusi jaringan Aymeric Laporte dan Sterling.

"Ia seperti roller coaster. Inilah lumrah perlawanan Hari Boxing, banyak gol. Ia menghiburkan semua orang," kata Guardiola. - AFP

Berita Harian X