Isnin, 13 Disember 2021 | 2:13pm
Gambar fail - Pemain kacukan skuad Harimau Malaya, Dion Cools.
Gambar fail - Pemain kacukan skuad Harimau Malaya, Dion Cools.

Piala Suzuki: Cools pemain kedua termahal

KUALA LUMPUR: Pemain kacukan skuad Harimau Malaya, Dion Cools muncul pemain kedua termahal dalam saingan Piala Suzuki AFF 2020 apabila memegang nilai pasaran sebanyak RM7.15 juta.

Nilai pasaran buat pemain yang beraksi bersama FC Midtjylland di Denmark itu didapati menerusi semakan di laman sesawang terkenal, Transfermarkt.

Menerusi semakan di laman sama, pemain tengah Thailand yang beraksi bersama Consadale Sapporo di Liga Jepun, Chanathip Songkrasin menjadi pemain termahal pada temasya terbabit dengan nilai RM7.63 juta.

Bagi senarai lapan teratas untuk nilai pasaran tertinggi di Piala Suzuki AFF 2020, pemain Thailand mendominasi carta terbabit dengan 10 orang bermula daripada RM7.63 juta sehingga RM1.6 juta.

Pemain ketiga termahal juga daripada negara skuad Gajah Perang iaitu Theerathon Bunmathon dengan nilai RM4.29 juta, diikuti Thitiphan Puangchan dan Teerasil Dangda yang masing masing bernilai RM2.86 juta.

Penyerang Laos, Billy Ketkeophomphone yang beraksi di Perancis bersama USL Dunkerque pula bernilai RM2.3 juta dan nilai itu turut dikongsi dengan pemain sayap Thailand, Supachok Surachat.

Pemain tengah Thailand, Sarach Yooyen yang beraksi bersama BG Pathum United pula memegang nilai pasaran sebanyak RM1.9 juta

Sementara itu, enam pemain berkongsi tanda harga RM1.6 juta dengan empat daripadanya adalah pemain Thailand iaitu penyerang veteran, Adisak Kraisorn, Phitiwat Sukjitthammakul, Philip Roller dan Sivakorn Tiatrakul.

Dua lagi pemain adalah Asnawi Mangkualam dari Indonesia serta pemain sayap Filipina, Bienve Maranon.

Dua pemain Malaysia turut tersenarai pada nilai RM1.5 juta iaitu pemain sayap Johor Darul Ta'zim (JDT) Safawi Rasid dan pemain tengah berpengalaman yang bakal menyertai Sabah FC musim depan, Baddrol Bakhtiar.

Nilai itu turut dikongsi dua pemain dari negara seberang iaitu Evan Dimas dan Ezra Walian.

Berikut senarai penuh pemain dengan nilai pasaran tertinggi:

1. Chanathip Songkrasin (Thailand) RM7.63 juta

2. Dion Cools (Malaysia) RM7.15 juta

3. Theerathon Bunmathon (Thailand) RM4.29 juta

4. Thitiphan Puangchan, Teerasil Dangda (Thailand) RM2.86 juta

5. Supachok Surachat (Thailand), Billy Ketkeophomphone (Laos) RM2.3 juta

6. Sarach Yooyen (Thailand) RM1.9 juta

7. Adisak Kraisorn, Phitiwat Sukjitthammakul, Philip Roller, Sivakorn Tiatrakul (Thailand), Asnawi Mangkualam (Indonesia), Bienve Maranon (Filipina) RM1.6 juta

8. Safawi Rasid, Baddrol Bakhtiar (Malaysia), Ezra Walian, Evan Dimas (Indonesia), RM1.5 juta

Berita Harian X