Ahad, 12 Disember 2021 | 9:05am
Penyerang Milan, Zlatan Ibrahimovic ketika beraksi menentang Udinese di Stadium Friuli - Dacia Arena dekat Udine. - EPA
Penyerang Milan, Zlatan Ibrahimovic ketika beraksi menentang Udinese di Stadium Friuli - Dacia Arena dekat Udine. - EPA

Ibrahimovic selamatkan mata buat Milan

MILAN: Zlatan Ibrahimovic mencuri satu mata pada lewat permainan buat AC Milan ketika seri 1-1 berdepan Udinese yang memberikan pencabar pendahulu Serie A itu peluang mengejar kedudukan manakala Juventus juga seri 1-1 di Venezia awal pagi tadi.

Ibrahimovic melakukan sepakan akrobatik ketika menjaringkan gol pada minit ke-92 yang memberikan satu mata buat Rossoneri namun Inter Milan, yang kini dua mata di belakang, akan menamatkan minggu ini di tempat pertama jika menewaskan Cagliari di San Siro.

Napoli satu mata lagi di belakang dan boleh sama 39 mata dengan Milan jika menang mengatasi Empoli di Naples dengan pemain utama mereka, termasuk Andre-Frank Zambo Anguissa dan Lorenzo Insigne kembali ke dalam skuad.

Juga menanti peluang ialah Atalanta, yang berkedudukan keempat dengan hanya lima mata di belakang Milan menjelang kunjungan ke Verona hari ini.

Milan berada dalam krisis kecederaan dengan pertahanan tengah Simon Kjaer perlu berehat panjang manakala Olivier Giroud, Rafael Leao dan Ante Rebic semuanya diketepikan selepas disingkirkan daripada saingan Eropah oleh Liverpool minggu lalu.

"Pemain sedar mereka tidak bermain sebaik kemampuan mereka," kata jurulatih Milan, Stefano Pioli.

"Kami perlu lebih baik dan saya yakin ia boleh dilakukan kerana kami ada cita-cita dan kemampuan memahami kesilapan dan memperbaikinya." - AFP

Berita Harian X