Rabu, 1 Disember 2021 | 6:44pm
Pemain KL City, Shukor Adan meraikan kejayaan memenangi Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam. - Foto NSTP/Aizuddin Saad.
Pemain KL City, Shukor Adan meraikan kejayaan memenangi Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam. - Foto NSTP/Aizuddin Saad.

Detik persaraan paling bermakna buat Shukor

KUALA LUMPUR: Penampilan 58 saat dalam aksi final Piala Malaysia berdepan Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi menjadi detik paling bermakna buat Shukor Adan sepanjang kerjayanya sebagai pemain bola sepak profesional.

Ia selepas pemain berusia 42 tahun itu mendapat hadiah persaraan dengan menjulang trofi Piala Malaysia apabila Kuala Lumpur City (KL City) melakar kejutan luar biasa menewaskan juara bertahan, JDT 2-0.

Shukor yang dimasukkan pada masa kecederaan mengakui kejayaan memenangi Piala Malaysia bersama KL City menjadi detik yang tidak akan dilupakan walaupun sudah pernah empat kali menjulang trofi itu bersama Selangor dan Negeri Sembilan sebelum ini.

"Setiap kali kita menang (juara Piala Malaysia), semua adalah pengalaman manis. Tapi pengalaman pada malam ini (semalam) saya rasa tak akan boleh lupa sampai bila-bila sebab ia mengakhiri karier saya sebagai pemain bola sepak profesional.

"Saya perlu berterima kasih kepada pemain KL City kerana mencapai impian saya. Kalau ikutkan nak ke final saja, tapi keajaiban (berlaku) pada malam ini dan menjadi penamat kerjaya saya. Bagi saya ini sejarah yang berlaku dalam bola sepak negara kita.

"Pada usia saya 42 tahun saya masih lagi boleh menang Piala Malaysia, walaupun bermain satu minit pun tak apa. Ini (kejuaraan) Piala Malaysia yang kelima saya dan saya menghambakan diri dengan bola sepak hampir 24 tahun, saya rasa saya bangga," katanya selepas perlawanan.

Selain lima kejuaraan Piala Malaysia, Shukor juga pernah menjulang dua trofi Piala FA dan memenangi dua gelaran Liga Perdana sepanjang kerjayanya.

Selain itu, bekas pemain skuad Harimau Malaya itu juga menjelaskan dia mungkin akan beralih kerjaya sebagai jurulatih bola sepak selepas ini.

"Untuk apa lagi saya nak main bola. Pada usia 42 tahun ini mungkin penamat yang paling baik untuk saya. Tapi bola tetap jiwa saya dan saya akan cuba beralih ke bidang kejurulatihan. Kalau ada rezeki saya ingin berjaya macam ini," katanya.

Berita Harian X