Isnin, 29 November 2021 | 8:10am
Pemain PSG, Lionel Messi (kiri) dan Angel Di Maria (kanan) bersaing dengan pertahanan Saint-Etienne, Miguel Trauco pada aksi Ligue 1 di Stadium Geoffroy-Guichard, Saint-Etienne, tengah Perancis. PSG menang 3-1 termasuk satu gol menerusi Di Maria. - Foto AFP

Messi bantu kebangkitan PSG atasi Saint-Etienne

PARIS: Paris Saint-Germain (PSG) bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Saint-Etienne yang bermain 10 orang, 3-1 dalam aksi Ligue 1 dengan Lionel Messi terbabit dalam ketiga-tiga gol.

Perlawanan itu turut menyaksikan penampilan sulung pertahanan Sepanyol, Sergio Ramos, manakala Neymar meninggalkan padang dalam kesakitan akibat kecederaan buku lali.

PSG kini mengumpul 40 mata, 12 di depan Rennes yang menghuni tangga kedua selepas merakam kemenangan ke atas Lorient 2-0 untuk kemenangan keenam dalam tujuh perlawanan.

"Saya gembira dengan persembahan seluruh pasukan dan usaha ditunjukkan pemain-pemain, terutama Lionel Messi yang membantu kami memenangi perlawanan ini," kata pengendali PSG, Mauricio Pochettino.

Saint-Etienne mendahului permainan apabila Deni Bouanga melepasi perangkap ofsaid dan menewaskan Gianluigi Donnarumma pada minit ke-23. Bendera ofsaid dinaikkan tetapi ulang tayang video bantuan pengadil (VAR) mengesahkan gol berkenaan.

Penyerang PSG, Kylian Mbappe dihalang penjaga gol Saint-Etienee, Etienne Green dalam aksi Ligue 1. - Foto AFP
Penyerang PSG, Kylian Mbappe dihalang penjaga gol Saint-Etienee, Etienne Green dalam aksi Ligue 1. - Foto AFP

Tuan rumah, menghuni tangga kedua tercorot liga tetapi hadir dengan dua kemenangan berturut-turut, tampak lebih menguasai permainan dalam cuaca sejuk dan bersalji itu.

Namun prestasi mereka terjejas selepas insiden kad merah ke atas Timothee Kolodziejczak yang mengasari Kylian Mbappe.

PSG menyamakan kedudukan menerusi tandukan Marquinhos dan Angel Di Maria meletakkan pasukannya di depan pada minit ke-70 sebelum Marquinhos memastikan kemenangan dalam masa kecederaan.

- AFP

Berita Harian X