Khamis, 21 Oktober 2021 | 10:31am
Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer bakal berdepan saingan sengit selepas ini dalam saingan EPL selepas kemenangan menentang Atalanta pada Liga Juara-Juara. - Foto EPA
Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer bakal berdepan saingan sengit selepas ini dalam saingan EPL selepas kemenangan menentang Atalanta pada Liga Juara-Juara. - Foto EPA

Ronaldo menyerlah, United 'membimbangkan'

MANCHESTER, United Kingdom: Kepulangan Cristiano Ronaldo ke Manchester United sudah menghasilkan dua kemenangan lewat berdepan Villarreal dan Atalanta lalu membawa Red Devils semakin menghampiri kelompok 16 terakhir Liga Juara-Juara.

Bagaimanapun kepulangan Ronaldo juga mendatangkan kesan terhadap skuad kendalian Ole Gunnar Solskjaer yang dilihat sebagai sekumpulan pemain dengan bakat individu tetapi tidak bermain sebagai sebuah pasukan.

United berada di landasan untuk mencatat kekalahan kelima dalam lapan perlawanan apabila Atalanta mendahului 2-0 pada babak pertama di Old Trafford awal pagi tadi.

Kebangkitan pada babak kedua mengurangkan tekanan terhadap Solskjaer ketika United mendaki dari kedudukan bawah Kumpulan F hingga teratas selepas tamat perlawanan.

Ronaldo melengkapkan kebangkitan dengan tandukan selepas gol dihasilkan Marcus Rashford dan Harry Maguire.

Pemenang lima kali Ballon d'Or itu berdepan kritikan sejak kebelakangan ini kerana kesan kepada pasukan yang wujud selepas ketibaannya.

Ronaldo yang kurang mengejar bola dikritik kerana menyebabkan rekod pertahanan United menjadi buruk. Bagaimanapun pada penghujungnya dia memberikan sesuatu dengan enam gol dalam sembilan perlawanan.

"Dia hebat di depan gol," kata Solskjaer. "Jika sesiapa mahu mengkritik kerana tahap permainan atau perwatakannya, cuba lihat perlawanan ini. Lihat bagaimana dia berlari sekeliling padang."

Tiga mata dipungut mengurangkan risiko tersingkir daripada saingan kumpulan buat musim kedua berturut-turut walaupun masih banyak diperlukan bagi menghadapi Atalanta dan Villarreal di tempat lawan.

Tumpuan kini terarah kepada Solskjaer menjelang kunjungan Liverpool ke Old Trafford pada Ahad manakala Tottenham dan Manchester City juga akan ke sana sebelum rehat saingan antarabangsa pada November.

United hanya mengutip satu mata daripada sembilan keseluruhan dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Aston Villa, Everton dan Leicester menyebabkan mereka ketinggalan lima mata di belakang pendahulu.

"Permainan babak pertama membimbangkan. Ia tidak kelihatan sebagai sebuah pasukan," kata bekas pemain tengah United, Paul Scholes.

"Bolehkah mereka bermain seperti itu menentang Liverpool? Tidak mungkin. Bolehkah anda menentang Manchester City seperti itu? Bolehkah anda menentang pasukan utama Liga Juara-Juara seperti itu?

"Saya bukan mahu dilihat seperti mencari tumpuan tetapi babak pertama itu amat membimbangkan saya."

- AFP

Berita Harian X