Sabtu, 2 Oktober 2021 | 9:33am
Pemain tengah Manchester United Jesse Lingard meraikan jaringan selepas meledak gol kemenangan ketika aksi Liga Perdana Inggeris menentang West Ham di Stadium London. - Foto AFP
Pemain tengah Manchester United Jesse Lingard meraikan jaringan selepas meledak gol kemenangan ketika aksi Liga Perdana Inggeris menentang West Ham di Stadium London. - Foto AFP

Lingard penyelamat Solskjaer bukan Ronaldo

MANCHESTER: Ole Gunnar Solskjaer mula rasa tertekan selepas deretan keputusan sukar buat Manchester United dan Jesse Lingard diharap mampu menjadi penyelamat pengendali itu.

Cristiano Ronaldo menjaringkan gol penting ketika menentang Villarreal dalam aksi Liga Juara-Juara Eropah minggu ini - kemenangan kedua United dalam lima perlawanan terakhir.

Namun pemain gantian, Lingard menjadi penyelamat dengan membuat umpanan untuk jaringan kemenangan Ronaldo itu.

Walaupun beraksi hanya 136 minit, pemain 28 tahun United itu sudah meledak dua gol dan melakukan satu umpanan, membantu pasukannya menjaringkan gol setiap 45 minit dia berada di atas padang.

Ia termasuk jaringan kemenangan Liga Perdana Inggeris ke atas West Ham bulan lalu dan umpanan pada Selasa, serta gol terakhir ketika membelasah Newcastle 4-1.

Kesemua detik penting ini hadir selepas Lingard masuk sebagai pemain gantian, dan dia turut beraksi cemerlang ketika membarisi kesebelasan utama menentang The Hammers dalam saingan Piala Liga.

Namun Lingard turut menanggung beban tersendiri selepas menjadi punca kepada kekalahan di tangan Young Boys pada aksi pembukaan Liga Juara-Juara.

Everton akan bertandang ke Old Trafford malam ini dengan bintang England itu mengharapkan dia tersenarai dalam kesebelasan utama selepas dipanggil oleh skuad kebangsaan.

Solskjaer mengakui selepas kemenangan ke atas Villarreal, Lingard tidak gembira dengan peranannya sebagai super-sub.

"Jesse tidak gembira apabila tidak dapat bermain. Tetapi dia masuk dan memberikan impak. Itu yang anda lakukan sebagai pemain gantian di peringkat ini," kata Solskjaer. - AGENSI

Berita Harian X