Ahad, 26 September 2021 | 11:23pm
Pemain TFC meraikan jaringan gol pada perlawanan peringkat Kumpulan Piala Malaysia menentang Kuching City FC, di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. - FOTO STR/GHAZALI KORI
Pemain TFC meraikan jaringan gol pada perlawanan peringkat Kumpulan Piala Malaysia menentang Kuching City FC, di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. - FOTO STR/GHAZALI KORI

TFC tiada masalah benam Kuching City

KUALA TERENGGANU: Terengganu FC (TFC) memulakan saingan Piala Malaysia dengan langkah kanan selepas menundukkan pasukan Liga Perdana, Kuching City FC (KCFC) 2-0 pada aksi pertama Kumpulan B di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, sebentar tadi.

Pertemuan itu dilihat menarik kerana pertembungan strategi antara guru, Irfan Bakti Abu Salim yang mengemudi KCFC menentang bekas muridnya, Nafuzi Zain yang membimbing TFC.

Tuan rumah yang menyenaraikan penyerang pasukan 'adik', Terengganu FC II (TFC II), Jordan Mintah terlebih dahulu mencemaskan kubu pelawat pada minit kesembilan apabila tandukan terbang pemain tengah, Makan Konate hasil sepakan percuma Lee Tuck terkena tiang gol sebelah kanan sekali gus terselamat gawang skuad The Cats.

Skuad Penyu yang melakukan rombakan kecil memperoleh peluang kedua menerusi hantaran menarik Faisal Halim yang mencari penyerang, Mintah dalam kotak penalti, namun pemain itu dijatuhkan penjaga gol, Wan Azraie Wan Teh memaksa pengadil menghadiahkan sepakan penalti.

Tuck yang ditugaskan untuk mengambil sepakan itu gagal menewaskan Wan Azraie selepas bola sepakannya terkena kaki penjaga gol itu.

Bagaimanapun pengadil, Ahmad Zuhaidi Dzulkifli menyalahkan penjaga gol kelahiran Terengganu itu selepas dikesan terlebih awal bergerak ke depan sebelum sepakan semula dilakukan Tuck.

Sepakan kedua diambil pemain berdarah kacukan England-Malaysia itu pada minit ke-22 akhirnya menerjah jaring walaupun berjaya ditepis penjaga gol untuk TFC mendahului 1-0.

Bersambung babak kedua, skuad Penyu tidak menunggu lama untuk menambah jaringan kedua menerusi Faisal berpunca daripada sepakan sudut Tuck yang singgah di kepala Konate dan bola muntah daripada dakapan bekas penjaga gol TFC itu disambar pemain kelahiran Pulau Pinang pada minit ke-48 untuk mengukuhkan kedudukan 2-0.

Memasuki pertengahan babak kedua, Nafuzi memasukkan penyerang, David Da Silva bagi menggantikan Mintah, namun pemain kelahiran Brazil itu gagal menambah jaringan dan kedudukan 2-0 itu kekal hingga tamat perlawanan.

Pemain Terengganu FC, Lee Tuck (kiri) menendang bola sambil diasak pemain Kuching City FC, Rames Lai pada perlawanan peringkat Kumpulan Piala Malaysia di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. - Foto Ghazali Kori
Pemain Terengganu FC, Lee Tuck (kiri) menendang bola sambil diasak pemain Kuching City FC, Rames Lai pada perlawanan peringkat Kumpulan Piala Malaysia di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. - Foto Ghazali Kori

Berita Harian X