Sabtu, 18 September 2021 | 11:39am
Carragher mendakwa kehadiran Ronaldo (kanan) di Manchester United akan mendatangkan lebih banyak masalah buat pengurusnya. - EPA
Carragher mendakwa kehadiran Ronaldo (kanan) di Manchester United akan mendatangkan lebih banyak masalah buat pengurusnya. - EPA

Ronaldo datangkan lebih banyak masalah - Carragher

LONDON: Jamie Carragher mendakwa kepulangan Cristiano Ronaldo ke Manchester United akan menyebabkan 'lebih banyak masalah berbanding penyelesaian' buat Ole Gunnar Solskjaer musim ini.

Ronaldo membuat kepulangan mengejut ke Old Trafford pada penamat perpindahan musim panas, 12 tahun selepas meninggalkan kelab itu untuk mencipta rekod dalam kariernya.

Pemain berusia 36 tahun tidak membuang masa mencipta nama buat United, menjaringkan dua gol ketika mengatasi Newcastle sebelum menambah satu lagi ketika kalah mengejut 2-1 dalam Liga Juara-Juara kepada Young Boys.

Carragher menerusi kolum dalam Telegraph mempersoalkan sama ada kehadiran Ronaldo boleh membawa mereka mencabar gelaran sejak 2013.

Katanya: "Dengan semua keceriaan yang mudah difahami di Old Trafford selepas kepulangan Cristiano Ronaldo, kehadirannya menyebabkan lebih banyak masalah daripada apa yang dapat diselesaikan Ole Gunnar Solskjaer.

"Ronaldo menjadi pemain yang lebih baik buat Liga Perdana berbanding Manchester United."

Katanya: "Persoalan lebih besar buat United ialah sama ada kehadiran Ronaldo boleh membawa mereka semakin hampir menjadi pasukan yang menang gelaran liga dan Liga Juara-Juara sekali lagi.

"Menerusi bukti dalam beberapa perlawanan awal, walaupun mereka menang tiga daripada lima perlawanan pertama, saya akan katakan tidak.

"Kebolehan Ronaldo membantu kemenangan boleh menjadikan United lebih kuat. Apa yang tidak boleh dilakukannya ialah menukar United kepada sebuah unit yang boleh menang gelaran atau menukar gaya permainan yang mereka masih lemah."

Carragher membandingkan Manchester United dengan pencabar lain musim ini seperti Man City, Chelsea dan Liverpool.

Bekas pertahanan Liverpool itu menyatakan tiga pasukan berkenaan sudah memiliki pemain 'dikenalpasti dan gaya sendiri' manakala Manchester United ialah pasukan dengan bakat individu terbaik yang perlu 'dibentuk sebagai sebuah pasukan'. - AGENSI

Berita Harian X