Ahad, 8 Ogos 2021 | 11:04pm
Bergson Da Silva melakukan tandukan sambil dihalang pemain Sabah FC, Rawilson Batuil pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, sebentar tadi. - Foto Ihsan Johor Southern Tigers
Bergson Da Silva melakukan tandukan sambil dihalang pemain Sabah FC, Rawilson Batuil pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, sebentar tadi. - Foto Ihsan Johor Southern Tigers

JDT hampiri gelaran juara Liga Super

ISKANDAR PUTERI: Johor Darul Ta'zim (JDT) semakin hampir meraih kejuaraan liga buat kali kelapan berturut-turut selepas menewaskan Sabah FC 2-0 dan ia kemenangan kelima berturut-turut pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, sebentar tadi.

Kemenangan itu dibantu dua gol dihasilkan Bergson Dal Silva pada babak pertama yang kini muncul sebagai penjaring terbanyak liga selepas meledak 19 gol dan memastikan JDT berjaya mengumpul 45 mata berbaki empat perlawanan.

Di awal permainan, JDT mencemaskan benteng pasukan pelawat apabila bola umpanan Bergson pada minit ketiga hampir memerangkap penjaga gol, Rozaimie Rohim namun tandukan Safawi Rasid sekadar melewati palang gol.

Sabah FC yang lebih gemar berkampung di kawasan sendiri akhirnya terpaksa merelakan gawang dibolosi pada minit ke-18 selepas tindakan bijak Safawi yang mengumpan bola kepada Bergson yang pantas merembat kencang menewaskan Rohaimie.

Selang dua minit kemudian, Bergson mencetak gol kedua peribadi apabila menyambut bola hantaran jauh Leandro Velazquez dan pantas melambung bola yang menyaksikan Rohaimie sekadar melihat bola menerjah jaring.

Pelawat hampir merapatkan jurang gol pada minit ke-28 selepas sepakan percuma kapten Risto Mitrevski dari jarak 25 meter tepat ke penjuru kanan gawang tapi ketangkasan penjaga gol, Farizal Marlias sempat melayangkan badan dan menepis bola keluar.

Aksi babak kedua yang disambung jelas dikuasai skuad Harimau Selatan yang bertali arus menggempur benteng skuad Tambadau tapi Safawi terlepas untuk menambah jaringan pada minit ke-60 selepas bola sepakan percuma dari luar kotak penalti sekadar melepasi palang gol.

Walaupun mengasak ke kubu anak didik Kurniawan, skuad Harimau Selatan gagal menambah jaringan dan dua gol yang dijaringkan Bergson pada babak pertama kekal sehingga tamat perlawanan untuk memastikan JDT menang 2-0 menewaskan Sabah FC.

Berita Harian X