MUNICH, Jerman: Kylian Mbappe menegaskan Paris Saint-Germain (PSG) masih perlu melakukan apa sahaja selepas meledak dua gol ketika pasukannya menang 3-2 berdepan juara bertahan, Bayern Munich pada aksi pertama suku akhir Liga Juara-Juara di sini, sebentar tadi.
Rentetan 19 perlawanan tanpa kalah Bayern dalam Liga Juara-Juara tamat dalam perlawanan ulangan final tahun lalu ketika gergasi Jerman itu berdepan kekalahan pertama di Eropah sejak Mac 2019.
PSG mendahului 2-0 dalam masa hanya 28 minit di Allianz Arena ketika Neymar mencipta gol buat Mbappe dan Marquinhos.
Bayern yang beraksi tanpa penjaring utama, Robert Lewandowski kerana kecederaan lutut, menyamakan kedudukan hasil tandukan Eric Maxim Choupo-Moting dan Thomas Mueller.
Bagaimanapun Mbappe menampilkan kelas tersendiri dengan gol kedua menakjubkan bagi memberikan pelawat kelebihan bagi pertembungan di Paris.
"Kami menggunakan semua peluang kami dan dibantu sedikit tuah, tapi ia masih belum muktamad," kata Mbappe kepada Sky, dengan perlawanan kedua akan berlangsung di Paris awal pagi Rabu depan waktu Malaysia.
Penjaga gol PSG, Keylor Navas memainkan peranan utama dengan banyak menyelamatkan cubaan Bayern, 31 cubaan berbanding enam buat kelab Perancis itu.
"Kami perlu menjaringkan lebih banyak gol," kata Mueller. "Jika ia berakhir dengan 5-3 atau 6-3 buat kami, tiada siapa akan merungut berdasarkan peluang yang ada."
Jurulatih Bayern, Hansi Flick, yang tewas buat kali pertama dalam Liga Juara-Juara, turut menyalahkan banyak peluang gagal disempurnakan.
"Dengan peluang yang kami ada, kami boleh mendapat keputusan yang bagus walaupun melepaskan tiga gol," kata Flick.
"Kami tidak suka kalah, tapi cara pasukan bermain memang terbaik."
Ini adalah rekod ke-19 penampilan dalam suku akhir Liga Juara-Juara buat Bayern namun tiada apa yang boleh diraikan mereka pada wisel penamat. - AFP