TURIN, Itali: Cristiano Ronaldo meletakkan Juventus semakin hampir dengan persada Serie A sebentar tadi menerusi dua gol hasil tandukan yang membantu juara bertahan itu menang 3-0 mengatasi kelab bawah liga, Crotone.
Penyerang Portugal itu meledak dua kali pada lewat permainan babak pertama untuk memecah kebuntuan berdepan Crotone seterusnya mengekalkan lapan mata di belakang pendahulu liga, Inter Milan.
Weston McKennie mengesahkan tiga mata pada pertengahan babak kedua apabila menyepak deras ke gawang selepas menerima hantaran lintang.
Skuad kendalian Andrea Pirlo mendaki ke kedudukan ketiga manakala Roma yang hanya satu mata di belakang, seri tanpa jaringan berdepan Benevento semalam.
Mereka juga empat mata di belakang pasukan tangga kedua, AC Milan yang tewas tiga daripada lima perlawanan liga termasuk kekalahan 3-0 di tangan Inter semalam.
Juve, yang mengejar gelaran liga ke-10 berturut-turut masih memiliki satu perlawanan dalam tangan berbanding kelab dari Milan itu dan akan menentang Inter di Turin. - AFP