Rabu, 10 Februari 2021 | 2:05pm
Safiq Rahim ketika bersama JDT sebelum ini. - Foto ihsan Harimau Selatan Tv
Safiq Rahim ketika bersama JDT sebelum ini. - Foto ihsan Harimau Selatan Tv

Safiq Rahim kembali ke pangkuan JDT

KUALA LUMPUR: Selepas Jonathan Herrera dan Mohamadou Sumareh, Kelab Bolasepak Johor Darul Ta'zim (JDT) sekali lagi membuat kejutan apabila mengumumkan bekas perancang tengahnya, Safiq Rahim kembali menyertai skuad Harimau Selatan.

Menerusi video ringkas yang disiarkan di semua platform media sosial kelab, ia memaparkan Safiq bersama Matthew Davies dan Aidil Zafuan Abd Radzak.

Malah, pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim turut mengucapkan selamat kembali kepada Safiq dalam satu komen beliau pada akaun Instagram rasmi kelab, officialjohor, hari ini.

"Selamat pulang SR8 (Safiq). 8 untuk misi (ke) 8," tulis Tunku Ismail yang dipercayai berkaitan misi JDT merangkul kejuaraan Liga Super buat kali kelapan musim ini.

Safiq terkenal dengan jersi 'nombor 8' sepanjang bersama JDT dari tahun 2013 hingga 2018.

Bekas kapten Harimau Malaya itu mencipta beberapa kejayaan bersama JDT termasuk muncul juara Liga Super, Piala FA, Piala Malaysia dan Piala AFC pada 2015.

Semalam, Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ) menjelaskan senarai lengkap pemain JDT akan diumumkan, hari ini.

Berita Harian X