Ahad, 7 Februari 2021 | 5:51pm
Kapten Manchester United, Harry Maguire berang dengan keputusan penjaga garisan ketika aksi menentang Everton, awal pagi tadi. - AFP
Kapten Manchester United, Harry Maguire berang dengan keputusan penjaga garisan ketika aksi menentang Everton, awal pagi tadi. - AFP

Maguire berang keputusan penjaga garisan

MANCHESTER: Jeritan kapten Manchester United, Harry Maguire yang berang kepada penjaga garisan dapat didengari sebelum mereka bolos gol penyamaan lewat permainan ketika menentang Everton, awal pagi tadi.

The Red Devils gagal mempertahankan kedudukan 3-2 di Old Trafford selepas Dominic Calvert Lewin mengikat kedudukan pada minit ke-95.

Namun, insiden yang berlaku sebelum gol penyamaan itu jelas menimbulkan kemarahan pertahanan tengah itu.

Ketika berada pada kedudukan 3-2, kapten United itu menyangkakan dia dikasari oleh Calvert-Lewin, lantas dia meluru ke arah penjaga garisan dengan Maguire kedengaran berkata 'adakah anda bergurau?'

United mendahului 2-0 menerusi jaringan Edinson Cavani yang meledak gol ketiganya dalam tiga aksi berturut-turut sebelum Bruno Fernandes menjaringkan gol dengan rembatan dari luar kotak penalti.

The Toffees bangkit pada babak kedua dengan dua gol pantas menerusi Abdoulaye Doucoure dan James Rodriguez menjadikan kedudukan 2-2.

United tampak bakal meraih tiga mata apabila Scott McTominay menyudahkan sepakan percuma Luke Shaw ketika aksi berbaki 20 minit.

Namun, kedudukan Maguire yang tidak menjaga garisan pertahanan dengan baik dan membuat perangkap ofsaid, membolehkan Calvert-Lewin menampan masuk bola hasil sepakan percuma pada masa tambahan babak kedua. -Agensi

Berita Harian X