Ahad, 7 Februari 2021 | 9:47am
Pemain Manchester United, Bruno Fernandes meraikan jaringan kedua diciptanya ketika berdepan Everton. - EPA
Pemain Manchester United, Bruno Fernandes meraikan jaringan kedua diciptanya ketika berdepan Everton. - EPA

Man Utd sia-siakan peluang

LONDON: Manchester United terlepas peluang berkongsi kedudukan teratas Liga Perdana apabila mensia-siakan kelebihan ketika mendahului sebelum seri 3-3 berdepan Everton.

United tampak akan sama mata dengan pendahulu, Manchester City sehingga Dominic Calvert-Lewin mendapatkan satu mata buat Everton pada minit ke-95 di Old Trafford.

Skuad kendalian Ole Gunnar Solskjaer meneruskan rentak jaringan selepas kemenangan 9-0 mengatasi Southampton ketika tandukan Edinson Cavani dan cubaan Bruno Fernandes memberikan mereka kelebihan 2-0 pada babak pertama.

Namun masalah pertahanan mengancam peluang United untuk merebut gelaran liga pertama dalam lapan tahun didedahkan skuad kendalian Carlo Ancelotti.

Dua gol dalam tempoh tujuh minit oleh Abdoulaye Doucoure dan James Rodriguez pada awal babak kedua memberikan gol penyamaan buat Everton.

Pemain Everton, James Rodriguez (kanan) mengawal bola dari pemain Manchester United, pada perlawanan awal pagi tadi. - Foto EPA
Pemain Everton, James Rodriguez (kanan) mengawal bola dari pemain Manchester United, pada perlawanan awal pagi tadi. - Foto EPA

Tandukan Scott McTominay mengembalikan kelebihan Red Devils 20 minit sebelum tamat tetapi mereka tidak berupaya menyekat jaringan Calvert-Lewin pada penghujung saingan.

"Kami bagus ketika menyerang, tapi kami perlu berhenti memberikan gol mudah," kata Solskjaer.

"Kami tidak bercakap mengenai menang gelaran," tambah pengendali dari Norway itu. "Masih banyak perlu dilakukan pasukan ini." - AFP

Berita Harian X